Luar Negara Berita

Teerasil kembali catat ‘assist’ di J.League, Sanfrecce semakin selesa

Ketika ini kelihatan setiap minggu kami perlu mengutarakan kehebatan pemain dari Thailand yang beraksi di liga utama Jepun. Selepas Chanathip Songkrasin mengutip satu lagi assist buat pasukannya, kini giliran Teerasil Dangda untuk melakukan sumbangan sama bagi membantu pasukannya meraih kemenangan.

Dalam aksi ke-13 Liga J1 pada 6 Mei lalu, Teerasil masuk dari bangku simpanan untuk membantu jaringan kedua pasukan, sekaligus memastikan kemenangan 2-0 Sanfrecce Hiroshima ke atas Vissel Kobe.

Pendahulu liga, Sanfrecce, berjaya mendapatkan tiga mata menerusi dua gol lewat dalam setiap babak perlawanan. Keputusan itu bermakna Sanfrecce meneruskan rekod cemerlang apabila hanya dua kali tidak meraih mata penuh, sambil 11 lagi aksi berakhir dengan kemenangan. Mereka juga kini memimpin carta Liga J1 (liga utama Jepun) berbekalkan 34 mata daripada 13 aksi.

Seminit sebelum tamat separuh masa pertama, penyerang senior skuad kebangsaan Jepun, Toshihiro Aoyama, membolehkan tuan rumah unggul menerusi sepakan penalti. Namun, dalam babak kedua, penyokong-penyokong di Hiroshima terpaksa menunggu sehingga minit-minit terakhir perlawanan untuk meraikan gol kedua.

Jaringan itu adalah hasil sumbangan bantuan gol daripada Teerasil. Penyerang Thailand yang pernah menjalani sesi latihan bersama Manchester City itu masuk menggantikan Daiki Watari pada minit ke-63. Kemasukan Teerasil telah membuatkan benteng Vissel kelam-kabut.

Sebaik sahaja perlawanan memasuki waktu kecederaan, Teerasil berlari pantas di bahagian kanan benteng Vissel. Menerusi satu hantaran lintang kaki kiri, dia membuka ruang buat rakan sepasukan, Anderson Patric Aguiar, menjaringkan gol. Jaringan lewat itu memastikan kemenangan 2-0 Sanfrecce Hiroshima ke atas Vissel Kobe.

Selepas perlawanan, Teerasil bercakap mengenai sumbangan bantuan gol yang dilakukan untuk menghasilkan jaringan kedua. “Ini adalah perlawanan yang sukar. Walaupun kami menang 2-0, kami harus bekerja keras untuk mendapatkan gol kedua.”

Ketika ditanya mengenai tindakannya melakukan hantaran lintang buat Patric berbanding menyudahkan sendiri peluang dimiliki, Teerasil berkata,” Itu adalah serangan balas yang penting di penghujung perlawanan. Saya rasa Patric berada pada posisi terbaik berbanding saya. Apa yang penting, kami memenangi perlawanan 2-0 dan saya lega membantu Patric mencatat gol.”

Untuk aksi seterusnya, Sanfrecce Hiroshima akan beraksi di Piala Jepun bertemu Gamba Osaka pada 9 Mei.