Luar Negara Eropah

Enam calon sesuai untuk menjadi pengganti Andres Iniesta di Barcelona

Mulai musim depan, tiada lagi nama Andres Iniesta di barisan tengah Barcelona. Jadi, kelab Catalonia itu harus segera mencari pengganti kepada pemain senior itu.

Mempertaruhkan proses perbincangan yang terbaik, pemain bergelar perancang tengah berikut adalah antara kelompok yang dirasakan mampu menggantikan ‘Don Andres’ dengan cepat di Barca:

Marco Verratti (Paris Saint-Germain)

Pemain Itali ini sudah diakui berada dalam kalangan salah seorang pemain tengah terbaik Eropah ketika ini. Pemain berusia 25 tahun ini juga dilihat mampu memanfaatkan segenap ruang dengan kemampuan hantaran menakjubkan serta menggerakkan bola dengan baik. Dia sering dilaporkan cuba mendapatkan cabaran baru, termasuk penghijrahan ke Barca. Namun, tanda harga yang cukup mahal telah diletakkan oleh pasukannya, Paris Saint-Germain.

Thiago Alcantara (Bayern Munich)

Don Andres sendiri pernah mengakui bahawa gaya permainan Thiago hampir menyamai caranya. Abang kepada Rafinha Alcantara ini dianggap tidak bernasib baik kerana beraksi di posisi sama dengan seniornya itu ketika masih muda di Barcelona. Akhirnya, dia membuat keputusan untuk ke Bayern pada musim panas 2013 sebelum mengesahkan status jeneral di bahagian tengah gergasi Jerman itu. Dalam masa sama, dia tidak pernah menafikan kemungkinan untuk kembali ke Barca.

Arthur Melo (Gremio)

Pemain berusia 21 tahun ini telah mencapai persetujuan dengan Barcelona. Arthur akan menyertai Barca dari Gremio pada Januari 2019. Pemain tengah Brazil dalam skuad kebangsaan B-17 dan B-19 ini sangat berbakat, terutama dalam melakukan lorongan terbaik buat rakan sepasukan. Namun, peminat Barca harus menunggu sehingga Januari 2019 untuk menilai aksinya.

Jean-Michael Seri (Nice)

Selain Verratti, pemain skuad kebangsaan Ivory Coast ini adalah salah seorang pemain tengah terbaik di Ligue 1. Seri hampir menyertai Barca pada musim panas 2017 tetapi mereka gagal mencapai persetujuan pada saat akhir. Bagaimanapun, ia tetap tidak mustahil buat Seri untuk kembali dikejar Barca bagi menggantikan Iniesta.

Christian Eriksen (Tottenham Hotspur)

Pemain tengah Spurs ini sering dinyatakan bukan untuk dijual oleh pasukannya. Namun, peminat bola sepak kebanyakannya berasa Eriksen perlu bersama pasukan lebih besar untuk mendapatkan prestasi terbaik. Pemain dari Denmark ini mempunyai kemampuan dalam mengawal dan menghantar bola dengan baik menggunakan kedua belah kakinya. Dia juga seorang pakar dalam tendangan percuma atau tendangan sudut. Eriksen terbukti mempunyai kualiti tersendiri untuk menjadi sebahagian daripada skuad Barca.

Carles Alena (Barcelona B)

Sudah pasti salah satu calon pengganti Iniesta datang dari skuad belia, La Masia. Nama Carles Alena mungkin tidak begitu dikenali tetapi dia sudah beberapa kali diserapkan pengendali Barca, Ernesto Valverde, ke dalam skuad utama pada musim 2017/18. Pemain berusia 18 tahun ini adalah perancang serta kapten pasukan Barca B dan dikatakan memiliki kebolehan hasil gabungan Xavi Hernandez dan Iniesta.