Berita Asia

‘Tiada pasukan berani berdepan Indonesia’ – Stefano Lilipaly

Semua pasukan akan takut berdepan dengan kami.

Itulah yang dikatakan oleh pemain Indonesia, Stefano Lilipaly menjelang proses undian Piala AFF Suzuki 2018 di Jakarta pada 2 Mei nanti.

“Saya pasti tidak ada pasukan yang mahu beraksi menentang Indonesia, terutamanya di gelanggang kami, Stadium Gelora Bung Karno,” kata Lilipaly kepada laman web Piala AFF Suzuki.

“Kami mempunyai pemain berpengalaman, pemain muda berbakat dan berkualiti, jadi pasukan lain perlu berada di tahap terbaik jika mereka mahu menewaskan kami.”
Dalam edisi 2016, Indonesia yang kembali ke kancah bolasepak antarabangsa selepas digantung FIFA, telah mencipta kejutan apabila mara ke perlawanan akhir sebelum ditewaskan Thailand.

Indonesia adalah antara negara yang masih belum pernah menjulang kejuaraan Piala AFF Suzuki walaupun sudah beberapa kali beraksi di perlawanan akhir.

Indonesia adalah negara yang sudah diketahui tahap kegilaan mereka terhadap bolasepak dengan penyokong yang cukup fanatic, jadi sudah tentu ramai penyokong meletakkan impian tinggi kepada skuad garuda.

“Sudah tentu rakyat Indonesia mempunyai harapan tinggi terhadap kami dan kami juga merasa benda yang sama, tetapi bagi penyokong mereka sentiasa mahu kami ulangi pencapaian yang sama.

“Penyokong sudah rasa terbiasa apabila kami mara ke perlawanan akhir dalam edisi yang lalu dan itu jangkaan untuk tahun ini juga.”

Indonesia akan berada di Balang 2 untuk proses undian nanti bersama Malaysia. Jadi mereka perlu menunggu untuk melihat sama ada mereka akan bertemu Thailand atau Vietnam yang berada di Balang 1.