Berita Asia

Remaja berusia 15 tahun pecah rekod sebagai pemain termuda Liga Thailand

Kalau di Malaysia, bintang muda bagi kita mungkin pemain berusia 18 tahun dan ke atas, tetapi di Thailand ia sedikit berbeza.

Buriram United baru-baru ini telah menurunkan pemain berusia 15 tahun, Suphanat Mueanta sekaligus memecahkan rekod pemain termuda yang beraksi di Liga Thailand.

Suphanat memecahkan rekod itu dalam aksi pertamanya bersama Buriram ketika menentang Nakhon Ratchasima pada 25 April yang lalu. Pemain muda itu masuk menggantikan Supachok Sarachat di minit terakhir perlawanan yang dimenangi Buriram dengan keputusan 2-1.

Pada hari bersejarah itu, Suphanat baru berusia 15 tahun 8 bulan dan 22 hari. Walaupun sekadar beraksi selama satu minit, detik bersejarah itu telah menarik peminat bolasepak Thailand yang melihat pemain muda itu sebagai bintang baru bolasepak Thailand yang akan bersinar di masa hadapan.

Sebelum ini, rekod pemain termuda di Liga 1 Thailand dipegang Aukit Panya, pemain Chiang Rai yang berusia 15 tahun pada 11 Mei 2015. Suphanat yang memecahkan rekod tersebut merupakan salah seorang pemain dari akademi Buriram yang memecah masuk ke skuad utama kelab itu.

Suphanat merupakan salah seorang pemain utama skuad bawah 16 tahun Thailand. Dia merupakan ketua pasukan skuad bawah 16 tahun Thailand dalam kejohanan Jockey Club di Hong Kong pada tahun lalu. Ketika itu, Suphanat baru berusia 14 tahun. Pemain yang lahir pada 2 Ogos 2002 ini telah menarik perhatian ramai pencinta bolasepak Thailand serta ketua jurulatih Buriram, Bozidar Bandovic dilihat begitu mahukan pemain muda itu meraih pengalaman beraksi bersama skuad senior dan merasakan pemain itu sudah bersedia.

Dengan jadual ketat yang bakal dihadapi Buriram, mereka perlu membuat penggiliran pemain. Mereka perlu berdepan pencabar kuat di Liga Thailand, Muangthong United pada 4 Mei nanti sebelum berdepan misi penting menentang kelab Korea Selatan, Jeonbuk di suku akhir Liga Juara-Juara Asia.

Bagaimana pula dengan pemain berusia 15 tahun di Malaysia? Masih kekal beraksi di liga sekolah-sekolah atau Piala Presiden? Bilakah kelab tempatan akan berani menurunkan pemain muda yang berbakat? Atau terus kekal menggunakan kudrat pemain senior dan terus mengecop pemain berusia bawah 25 tahun sebagai pemain muda?