Luar Negara

Penghujung karier Andres Iniesta di Nou Camp semakin hampir?

Ini mungkin merupakan musim terakhir Andres Iniesta di Barcelona dan Nou Camp, menurut pelbagai laporan media-media Sepanyol.

Iniesta dikatakan sudah menerima pelbagai tawaran lumayan, termasuk daripada China dan menurut laporan akhbar yang berpangkalan di Barcelona, Sport, bintang Barca itu akan mengikut jejak langkah Javier Mascherano dan berhijrah ke Asia pada musim panas akan datang.

Laporan tersebut turut mendedahkan bahawa Iniesta telah bersetuju untuk menandatangani kontrak bernilai 43.5 juta US dollar setahun bersama Tianjian Quanjian. Namun, ketua jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde masih optimis bahawa Iniesta akan kekal di Nou Camp pada penghujung musim ini.

“Saya tidak boleh memberi komen kepada setiap berita yang keluar dalam surat khabar. Ia tidak berlaku, dan kami mahu Andres untuk kekal, terus menjaringkan gol dan mencipta peluang gol untuk kami.

“Ketika ini ia hanya berlaku kepada Mascherano dan saya tidak akan menjadikan saya gila untuk berfikir mengenai perkara yang belum terjadi.

“Kami tidak mempunyai banyak masa untuk berfikir mengenainya ketika ini memandangkan apa yang kami sedang berusaha untuk lakukan,” kata Valverde, menurut laporan AFP.

Bulan lepas, Javier Mascherano menjadi pemain gergasi seterusnya untuk berhijrah ke China, selepas dia menerima tawaran lumayan daripada Hebei China Fortune, kelab yang dikendalikan oleh bekas jurulatih Real Madrid dan Manchester City, Manuel Pellegerini.