Luar Negara Eropah

Pasangan kembar Bender mengintai peluang ke Piala Dunia 2018

Dikenali sebagai salah sebuah pasukan gergasi dalam aksi bola sepak, Jerman tidak pernah kekurangan pemain berkualiti. Bermula daripada era Fritz Walter, seterusnya Franz Beckenbauer sehinggalah ke zaman emas Lothar Mattahus dan disambung Philipp Lahm serta kini, Joshua Kimmich.

Senarai nama-nama di atas (kecuali Kimmich) telah membawa skuad Die Mannschaft meraih trofi terbesar dunia, iaitu Piala Dunia, masing-masing pada 1954 (Walter), 1974 (Beckenbauer), 1990 (Matthaus) dan 2014 (Lahm).

Kebanjiran pemain yang dimiliki Jerman sering membuatkan pengurus pasukannya bingung dalam memilih senarai pemain yang dibawa ke pentas akhir kejohanan tersebut. Situasi sama turut sedang dihadapi oleh pengurus terkini Die Mannschaft, Joachim Low.

Sangat menarik apabila melihat Jerman mampu meraih status juara Piala Konfederasi 2017 tanpa kehadiran bintang utama seperti Jerome Boateng, Mats Hummels, Sami Khidera, Toni Kroos dan Mesut Ozil walaupun mereka berdepan Chile, Cameroon, Mexico dan Portugal.

Dalam senarai beberapa pemain yang membuatkan Low dalam dilema untuk memilih pemain ke Russia nanti, antara nama yang membarisinya adalah adik-beradik kembar Lars dan Sven Bender yang beraksi di bahagian tengah dan kedua-duanya mampu beraksi di posisi benteng pasukan.

Mereka dilahirkan tepat 29 tahun lalu di Rosenheim, dimana adik-beradik Bender muncul di dunia bola sepak menerusi kemampuan yang memukau. Mereka menimba ilmu bersama-sama di pasukan junior TSV Brannenburg (1993-1999), SpVgg Unterhaching (1999-2002) dan TSV 1860 Munich (2002-2006). Melalui pasukan yang terakhir, Lars dan Sven meraih debut di pentas 2. Bundesliga.

Sebagai pemain tengah, kedua-duanya harus mempersembahkan aksi yang menarik perhatian di bahagian itu. Tidak kira Lars atau Sven, mereka menunjukkan aksi positif setiap kali beraksi di atas padang. Kedua-duanya gemar melakukan perkara sama, mencipta bentesan sambil menyeret badan di atas rumput terhadap pemain lawan adalah antara perkara yang sering dibuat.

Lebih daripada itu, mereka juga mempunyai kebolehan dalam membaca corak permainan lawan sehingga mudah melakukan halangan yang penting, terutamanya ketika bertahan sambil turut terlibat dalam membawa bola ke depan untuk menyerang tanpa menunjukkan sebarang kepenatan.

Bagaimanapun, Lars dilihat oleh pemerhati bola sepak sebagai pemain tipikal yang lebih cenderung secara ofensif tetapi Sven agak defensif. Situasi itu telah menyebabkan kedua-duanya dapat digandingkan sebagai bek tengah.

Aksi selama tiga musim di 1860 Munich membuatkan pasangan kembar Bender membuat keputusan untuk berhijrah. Mereka meraih tawaran dari dua pasukan yang berbeza. Lars menyertai Bayer Leverkusen sementara Sven berpindah ke Borussia Dortmund.

Walaupun tidak beraksi bersama, mereka tetap membuktikan kebolehan mereka secara tetap sehingga menjadi tonggak utama buat pasukan masing-masing.

Persembahan memukau yang ditampilkan membuatkan Low memberi kesempatan buat mereka menyarung jersi Jerman. Sehingga kini, Lars telah beraksi sebanyak 19 kali dan menjaringkan empat gol sementara Sven memiliki tujuh penampilan Die Mannschaft.

Bagaimanapun, Sven dilihat lebih berjaya kerana menjulang beberapa trofi seperti dua gelaran Bundesliga, Piala jerman dan Piala Super Jerman, tatkala Lars masih belum menikmati sebarang trofi di Leverkusen.

Selepas mewakili dua pasukan yang berbeza, akhirnya dua beradik ini kembali bersama pada musim panas 2017. Melihat kepada kekangan peluang beraksi bersama Die Schwarzgelben di bawah kendalian Peter Bosz, Sven akhirnya ke Leverkusen melalui kontrak empat tahun.

Ia sangat menarik kerana pengurus Die Wekself, Heiko Herrlich, meletakkan mereka sebagai pemain utama dalam pasukan tetapi tidak digandingkan bersama di tengah kerana Sven lebih banyak beraksi di benteng.

Aksi-aksi hebat yang ditunjukkan telah membawa Leverkusen secara konsisten ke kelompok atasan Bundesliga bagi musim 2017/18. Selepas 31 perlawanan, pasukan yang beraksi di BayArena ini berada di tangga keempat liga dan berpeluang mengaut tiket ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Melihat kembali aksi cemerlang yang ditunjukkan pasangan kembar ini, agak wajar buat Low untuk mempertimbangkan nama mereka untuk ke Russia dalam usaha meraih trofi Piala Dunia kelima.

Sekiranya dipilih ke Piala Dunia 2018, Sven dan Lars akan menyertai Rene dan Willy van de Kerkhof serta Frank/Ronald De Boer (Belanda) dan David/Philipp Degen (Switzerland) dalam senarai pasangan kembar yang beraksi di Piala Dunia.