Malaysia Berita

‘Ubi Malaysia’ dapat perhatian kelab Jepun

Jepun menjadi destinasi terbaharu buat anak muda Malaysia bagi mengembangkan bakat mereka dalam arena bola sepak tempatan apabila pemain kelahiran Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dipilih untuk menjalani latihan di negera matahari terbit.

Selepas kejayaan Hadi Fayyadh menyarung jersi salah satu kelab terkemuka di Jepun, Fagiano Okayama kini tujuh pemain AMD bakal membuat kejutan dengan menjalani pemilihan di sana.

Perkara ini telah disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam yang melihat perkembangan positif ini hasil daripada perbincangan bersama beberapa wakil kelab yang beraksi di Liga Jepun (J-League).

“Kemungkinan ada empat kelab yang mengambil tujuh pemain terbabit untuk mengikuti program latihan, sekali gus mampu mempertingkatkan kebolehan masing-masing dengan mempelajari teknik bola sepak menerusi kelab di Jepun.

“Pada masa ini, kita tidak mahu mendedahkan nama kelab berkenaan kerana mungkin mengganggu proses perbincangan dan perkara terbabit akan hanya diumumkan apabila sudah mendapat persetujuan semua,” katanya.

Biarpun mengambil sikap berdiam diri dalam menamakan kelab-kelab berkaitan, tetapi terdapat laporan daripada sumber yang sahih mengatakan antara kelab yang mahu mendapatkan khidmat anak muda Malaysia ialah pasukan divisyen 1 Liga Jepun (J1) Cerezo Osaka.

Menurut sumber, Cerezo Osaka berminat untuk membawa masuk penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsuddin yang dipilih dalam Kesebelasan Utama Terbaik Piala Sanix 2019.

Luqman, bekas penjaring terbanyak Kejuaraan Bawah 16 Tahun (B-16) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 dikhabarkan bakal menjalani pemilihan dengan kelab terbabit bermula Ogos ini.

“Saya dimaklumkan beberapa pasukan khususnya pasukan dari divisyen dua (J2) berminat untuk melihat corak permainannya selepas tertarik dengan prestasi Luqman pada Piala Sanix 2019.

“Namun, Cerezo Osaka mungkin pilihan yang lebih baik memandangkan mereka beraksi di divisyen satu dan sudah tentu mereka akan memberikan pengalaman lebih baik kepada Luqman,” kata sumber berkenaan.