Piala FA Malaysia Berita

Shopee Piala FA – Penyu buat Gajah nampak kecil

Terengganu FC (TFC) mencipta kejutan apabila mudah menundukkan Pahang, 2-1 pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.

Juara bertahan Pahang hanya mampu mengharapkan perlawanan kedua berpihak kepada mereka pada 10 Mei nanti jika mahu layak ke separuh akhir Piala FA.

Pada perlawanan tersebut, skuad Penyu menjaringkan gol pertama pada minit kesembilan menerusi Malik Mat Ariff yang mendapat hantaran cantik daripada Lee Tuck dan mudah disudahkan beliau yang menggelecek penjaga gol, Helmi Eliza Elias.

Tok Gajah cuba bangkit dihadapan lebih 10,000 orang peminat setia TFC dan banyak menyerang daripada bahagian sayap kanan melalui pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh, namum gagal mencari gol penyamaan.

Kelekaan skuad Pahang dalam menyerang telah dihukum buat kali kedua apabila Tuck sekali lagi menjadi duri dalam daging apabila hantaran beliau berjaya mencari Kipre Tchetche untuk jaringan kedua pada minit ke-26.

Tersentak dengan jaringan kedua, Pahang menggandakan asakan ke kubu TFC dan hasilnya gol pertama berjaya dibawa pulang menerusi Jose Eduardo yang menerima hantaran daripada kapten, Matthew Davies pada minit ke-57.

Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan dengan Terengganu membawa bekal selesa menjelang pertemuan kedua dengan Pahang nanti.