Santai Luar Negara

Senarai kelab-kelab yang berjaya bangkit semula selepas diisytiharkan bankrap

Salah satu perkara paling mengerikan dalam menyokong cabaran sebuah pasukan bola sepak adalah melihat kelab kegemaran mengalami bankrap.

Sudah tentu pelbagai alasan daripada situasi itu, namun sesuatu yang pasti adalah perlu memulakan segalanya dari kosong, divisyen bawah berbekalkan kualiti minimum barisan pemain.

Namun, ternyata masih ada pasukan yang dapat bangkit selepas bankrap dan kembali menjadi pasukan yang dihormati. Apakah kelab itu? Berikut adalah senarainya.

Napoli

Detik emas Napoli yang pernah diperkuatkan oleh Diego Maradona ini jatuh bankrap pada tahun 2004 apabila jumlah hutang mencecah 70 juta EURO sehingga diturunkan ke Serie C1. Selepas dibina semula oleh Aurelio De Laurentiis, mereka berjaya bangkit sehingga muncul pasukan kedua terbaik di Itali.

Fiorentina

Fiorentina mengalami krisis kewangan pada 2001 dan akhirnya diisytiharkan bankrap pada 2002 menerusi hutang sehingga USD50 juta. Hasil daripada hutang itu, Fiorentina tidak mampu membayar gaji pemain dan diturunkan ke Serie C2. Mereka bernasib baik apabila seorang usahawan bernama Diego Della Valle tiba dan Fiorentina berjaya bangkit untuk kembali ke Serie A pada musim 2004/05.

Parma

Parma mungkin pasukan yang sering dikaitkan dengan masalah kewangan. Mereka mengalami masalah itu beberapa kali. Bermula pada 2004 apabila penaja utama, Parmalat, musnah tetapi mereka tidak diturunkan liga ketika itu. Malangnya, mereka sekali lagi bankrap pada 2015 setelah jumlah hutang mencapai 218 juta EURO. Mereka diturunkan sehingga ke Serie D, namun berjaya bangkit dengan hebat. Kini, mereka masih berpeluang untuk meninggalkan Serie B dan kembali ke Seire A selepas berada di tangga keempat dan dibezakan satu mata dengan pasukan tangga ketiga, Palermo, tatkala memiliki baki dua perlawanan.

AEK Athens

Masalah hutang yang berlaku pada 2012 membuatkan AEK jatuh. Barisan bintang mula meninggalkan pasukan, menyebabkan prestasi semakin menurun dan akhirnya bankrap pada 2013. Namun, AEK berjaya bangkit dengan baik. Malah, mereka menjuarai Piala Liga pada 2015/16.

Leicester City

Leicester berdepan masalah kewangan pada 2002 setelah mereka berpindah stadium. Mereka mempunyai hutang yang mencapai 30 juta Pound dan telah disenaraikan dalam pengawasan kewangan. Prestasi mereka jatuh sehingga ke Liga Satu, saingan divisyen tiga England. Namun, selepas diambil-alih oleh konsortium milik Gary Lineker sebelum dimiliki ahli perniagaan Thailand, Leicester mampu bangkit dan secara menakjubkan muncul juara Liga Perdana Inggeris pada musim 2015/16.

Borussia Dortmund

Pada tahun 2005, Dortmund mengalami masalah kewangan dengan jumlah hutang sehingga 120 juta EURO. Mereka hampir diisytiharkan bankrap sebelum terselamat hasil penjualan nama stadium kepada Signal Iduna Park. Sejak itu, mereka bangkit dan bergelar juara Bundesliga dua tahun berturut-turut pada 2010/11 dan 2011/12.

Rangers

Rangers merupakan salah satu pasukan gergasi di Scotland, namun dikejutkan dengan status bankrap pada 2012. Pemilik pasukan mengalami bankrap dan akhirnya menjual asetnya kepada syarikat perniagaan lain bernama Sevco Scotland Ltd. Mereka kembali bermula dari Divisyen Tiga Liga Scotland dan bangkit dengan pantas. Bersama Steven Gerrard musim depan, mereka kini bersedia untuk kembali mengungguli saingan di Scotland.