Malaysia Liga Super Malaysia

Periksa kedudukan kewangan dahulu sebelum benarkan pasukan bertanding – Yusoff Mahadi

Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi mahu kedudukan kewangan sesebuah pasukan diperiksa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan lebih terperinci terlebih dahulu sebelum membenarkan pasukan itu bertanding.

Katanya, isu tunggakan gaji pemain Kuantan FA perlu ditangani dengan serius supaya masalah sebegini tidak berulang lagi pada musim-musim akan datang.

“Mereka menjanjikan pengurusan baharu yang akan mengambil alih serta bersedia melangsaikan masalah gaji pemain bagi musim sebelum ini secara berperingkat tapi malangnya ini tidak berlaku. Walaupun Kuantan FA ini menggunakan nama Marcerra, tapi pengurusan kelab ini masih orang yang sama.

“Akhirnya pasukan ini memberi masalah kepada perjalanan liga kita sendiri yang sudah separuh jalan. Jadi, pada saya ini satu pengajaran buat kita semua dan MFL harus memikirkan jalan terbaik untuk menangani isu ini.

“Mungkin kita perlu lebih tegas dengan melihat kedudukan kewangan sesebuah pasukan sebelum mereka dibenarkan bertanding,” katanya kepada Berita Harian.

Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM menjelaskan, pihaknya menyerahkan sepenuhnya tindakan terhadap Kuantan FA kepada MFL.

“Kes ini di bawah bidang kuasa MFL selaku badan yang mentadbir liga-liga Malaysia, jika masalah ini membabitkan tunggakan gaji atau pegawai pemain berkenaan, baru FAM boleh kendalikan menerusi Jawatankuasa Tatatertib.

Kita berharap MFL dapat mencapai satu penyelesaian terbaik bukan sahaja isu ini tapi juga untuk masa akan datang supaya ia tidak berulang lagi,” katanya.