Malaysia Liga Super Malaysia

Masih belum jaringkan sebarang gol, Bruno Suzuki yakin masanya akan tiba

Penyerang import Terengganu, Bruno Suzuki akui sudah tiba masanya untuk mula menjaringkan gol selepas langsung tidak mencetakkan sebarang jaringan selepas berpindah daripada pasukan Terengganu FC II awal bulan ini.

Namun begitu, katanya, beliau tidak terlalu risau dengan kemarau jaringan tersebut sebaliknya mengutamakan kemenangan pasukan dalam setiap perlawanan.

“Saya gembira kerana penampilan pertama bersama pasukan baharu Terengganu berakhir dengan kemenangan bergaya menumpaskan Melaka United 3-0 minggu lalu.

“Walaupun tidak berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan itu tapi saya gembira kerana dapat membantu kemenangan hasil dua umpanan kepada rakan sepasukan yang menjaringkan gol.

“Dalam perlawanan itu saya mempunyai beberapa peluang untuk menghasilkan gol, tapi gagal menemui sasaran, saya tidak kisah kerana yang penting kami menang tetapi kini sudah tiba masa buat saya menjaringkan gol,” katanya kepada Berita Harian.

Pemain kelahiran Brazil berwarganegara Jepun itu juga gagal menjaringkan sebarang gol ketika bersama Terengganu FC II walaupun berjaya menjaringkan 11 gol bersama Negeri Sembilan pada musim lalu.

Walaubagaimanapun, Suzuki tetap yakin dapat menamatkan kemarau jaringan apabila melayan kunjungan Kedah pada 27 April ini.

“Saya gembira dapat kembali beraksi dengan bekas rakan sepasukan Lee Tuck ketika bersama Negeri Sembilan yang saya sifatkan antara pemain tengah terbaik dalam saingan Liga Malaysia.

“Penawar seorang penyerang adalah menghasilkan jaringan, jadi saya akan tunjukkan aksi terbaik dalam perlawanan seterusnya,” katanya.