Malaysia Liga Super Malaysia

Kuantan FA berdepan hukuman berat selepas isu boikot di Stadium Shah Alam semalam

Kuantan FA bakal berdepan dengan hukuman berat selepas gagal menghadirkan diri dalam perlawanan menentang PDRM dalam saingan Liga Perdana, malam semalam.

Menurut kenyataan rasmi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), mereka memandang serius perkara tersebut dan bersedia mengenakan hukuman berat dengan membatalkan penyertaan pasukan terbabit.

“Sekretariat MFL akan memaklumkan perkara ini kepada Lembaga Pengarah MFL untuk membatalkan penyertaan Kuantan FA dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga akan memberi hukuman yang setimpal terhadap mereka.

“Hukuman yang sewajarnya bakal menyusul bukan setakat kepada pasukan terbabit malah kepada individu yang terlibat bagi memastikan mereka tidak menceburkan diri dalam kancah bola sepak tempatan lagi,” katanya kepada Berita Harian.

Mengenai masalah tunggakan gaji yang dihadapi pasukan itu yang menjadi punca pemain enggan beraksi, MFL menegaskan pihaknya sudah berlaku adil kepada pemain dan juga pegawai apabila membayar gaji sebulan menerusi geran pasukan untuk musim ini.

“Bantuan ini diberikan dengan harapan ia dapat memberi peluang kepada pengurusan pasukan untuk menyelesaikan masalah ini dan terus mengharungi liga.

“MFL turut menerima banyak jaminan di mana mereka akan menyelesaikan semua masalah dengan penajaan baru yang akan masuk. Namun, ia tetap gagal dan satu keputusan harus dimuktamadkan,” katanya.

Sebelum ini Kuantan FA pernah menyatakan hasrat mereka untuk menarik diri berikutan kegagalan pengurusan pasukan itu melangsaikan gaji pemain dan pegawai pasukan yang tertunggak selama tiga bulan.

Pengurusan pasukan tersebut bagaimanapun mendakwa mereka menerima penaja baharu yang pernah membantu dua kelab Liga FAM iaitu Hanelang dan Terengganu City malah sudah memberikan persetujuan secara lisan untuk membantu kewangan pasukan tersebut.