Malaysia Liga Super Malaysia

‘Selagi ada undang-undang, hak pemain Kuantan FA akan terjaga’- PFAM

Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) akan memastikan hak pemain Kuantan FA dijaga dengan mengemukakan laporan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkenaan masalah gaji yang dihadapi pasukan tersebut ketika ini.

Ini susulan daripada kenyataan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang akan membawa perkara itu dalam mesyuarat lembaga pengarah bagi memutuskan pembatalan penyertaan Kuantan FA dalam saingan Liga Perdana.

Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya berkata, pihaknya berada dalam proses terakhir bagi mengumpulkan segala dokumen untuk diserahkan kepada FAM dalam masa terdekat.

“Mungkin Selasa atau Rabu ini kami akan ke FAM. Sekarang kami sedang dapatkan maklumat daripada pemain Kuantan FA untuk mengetahui berapa angka sebenar gaji yang sudah dibayar dan masih tertunggak.

“Ini bagi memastikan dokumen yang akan diserahkan kepada FAM nanti lengkap sepenuhnya. Kami juga sudah dua kali menghantar surat kepada Marcerra United sebelum ini dan saya fikir sudah sampai masanya untuk kami membuat laporan rasmi kepada FAM.

“Ini kali pertama protes berlaku, jadi kita kena faham betul-betul undang-undang yang ada. Pemain juga pasti tertanya-tanya bagaimana nasib mereka. Selagi ada undang-undang, hak pemain tetap terjaga,” katanya kepada Berita Harian.

Kuantan FA ketika ini berhadapan dengan masalah kewangan yang serius sehingga gagal membayar gaji pemain selama tiga bulan.

Masalah yang timbul menyebabkan beberapa pemain membuat aduan kepada PFAM dan ada yang menandatangani kontrak dengan pasukan lain meskipun jendela perpindahan kedua masih belum dibuka.

Walaupun pengurusan pasukannya, Marcerra United berjanji untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji apabila berjaya menemui penaja baharu, para pemain Kuantan FA seolah-olah enggan berdiam diri lagi dan akhirnya bertindak untuk tidak menghadirkan diri dalam perlawanan menentang PDRM yang diberikan kemenangan percuma 3-0.