Santai Luar Negara

Diari dari Dusseldorf: Melawat bekas ‘kawasan’ Gary Steven Robbat di Borussia Dortmund

Penulis Football Tribe, Khairul Nizam kini berada di Dusseldorf, Jerman atas jemputan khas daripada pihak Bundesliga untuk mengenali liga mereka dengan lebih lanjut, serta melakukan liputan dua perlawanan Bundesliga! 

Hari Terakhir: Ahad 15 April 2018

Hari keempat dan terakhir. Selesai sudah merasa pengalaman menyaksikan perlawanan di Jerman. Tapi itu bukan penutupnya. Hari terakhir sebelum berangkat pulang ke Malaysia, kami dibawa ke satu stadium yang pastinya menjadi idaman semua peminat bolasepak di seluruh dunia. Signal Iduna Park atau nama lamanya, Westfalenstadion.

Tapi, sebelum itu, kami perlu pergi melihat akademi Borussia Dortmund yang cukup terkenal. Melahirkan ramai pemain-pemain muda berbakat, akademi Dortmund memang dikenali di seluruh dunia dan menggunakan sistem latihan dan teknologi terkini.

Di sini kami berpeluang mencuba satu teknologi yang hanya ada tiga di dunia. Footbonaut. Mesin ini digunakan untuk berlatih sentuhan, hantaran, reaksi, penyudah dan pergerakan. Untuk pemain muda, mesin ini digunakan untuk menilai keupayaan mereka. Akan tetapi, teknologi ini bukan sahaja digunakan oleh pemain muda, tetapi pemain skuad utama seperti Nuri Sahin, Marco Reus, Mario Gotze dan ramai lagi juga menggunakan mesin ini. Mahu jadi pemain bintang? Teruskan berlatih biarpun sudah sampai di kemuncak.

Kami melihat sendiri padang latihan akademi dan skuad utama Dortmund. Apa yang aku ingat, di sini dulu Gary Steven Robbat sempat berlatih ketika tidak dibenarkan beraksi di Liga Malaysia. Memang hebat. Mereka mempunyai sembilan padang yang terdiri padang untuk pemain muda, padang tiruan, padang lengkap dengan pemanas untuk musim sejuk dan juga padang untuk bolasepak pantai.

Selesai di akademi, kami terus ke Signal Iduna Park, lokasi terakhir kami untuk lawatan ini. Sedih juga rasanya kerana tidak dapat melihat perlawanan di stadium ini, tetapi mungkin ini bagus juga kerana tidak perlu bersesak dan boleh menjelajah lebih banyak tempat di dalam stadium.

Di sini, kami dapat melihat sendiri Yellow Wall yang cukup terkenal. Biarpun sekadar ada 16 orang, sorakan kami bergema di dalam stadium. Bayangkan ketika hari perlawanan, ada kira-kira 30,000 orang di Yellow Wall bersorak. Gila.

Selain Yellow Wall, kami dibawa juga ke terowong pemain, bilik persalinan dan bangku pemain. Apa yang menarik, bilik persalinan pemain masih klasik dengan kerusi kayu.

Satu cerita yang melucukan yang diceritakan oleh ‘Tour Guide’ kami, Gianluigi Buffon pernah terkurung di dalam stadium ini kerana mengambil masa yang terlalu lama untuk menjalani ujian air kencing. Dia sukar untuk membuang air kecil dan mengambil masa yang lama sehingga petugas tidak menyedari dia masih berada di dalam stadium. Syukur ada pengawal keselamatan yang menjumpainya di dalam stadium dan menghantar Buffon ke lapangan terbang.

Melihat betapa menakjubkan stadium ini, aku hanya dapat bayangkan bagaimana keadaan ketika perlawanan terutamanya ketika Ruhr Derby. Pasti atmosferanya lebih menggerunkan.

Tamat sudah lawatan aku ke Jerman. Banyak yang telah aku pelajari di sini. Tapi yang paling akan aku ingat dan rasa sesuai untuk diterapkan di Malaysia adalah biar bagaimana kita mahu cuba menerobos pasaran baru, jangan dilupakan asal usul. Melihat petugas-petugas tempatan yang cukup sayangkan kelab dan mempunyai cinta yang mendalam terhadap pasukan, aku harap itu akan berlaku di Malaysia.

Mungkin akan mengambil masa yang lama, tetapi aku sedia menunggu. Akhir kata, aku perlu mengucapkan terima kasih kepada pihak Bundesliga International kerana membuka mata aku dan membenarkan aku belajar mengenai bolasepak Jerman yang memang hebat.

[Hari Pertama] – Diari Dari Dusseldorf: Ikuti pengembaraan seorang anak Malaysia di bumi Jerman dan Bundesliga

[Hari Kedua] – Diari dari Dusseldorf: Bukan selalu dapat tengok Kevin Volland jaringkan hat-trick di Bay Arena!

[Hari Ketiga] – Diari dari Dusseldorf: Minggu lepas layan KL vs Selangor, minggu ini layan Schalke vs Dortmund!