Piala Dunia 2018 Berita

Hwang Hee-Chan, seorang lagi bakat muda berharga dari Korea Selatan

Sejak zaman 60-an, skuad kebangsaan Korea Selatan pantas berkembang menjadi salah sebuah pasukan gergasi di kancah bola sepak Asia. Perkembangan itu dimulakan oleh Taeguk Warriors melalui pelbagai kejayaan, bermula dengan gelaran Piala Asia, empat pingat emas Sukan Asia sehinggalah ke tempat keempat Piala Dunia 2002.

Dalam masa sama, Korea turut melahirkan beberapa pemain hebat yang mampu bersaing dengan pemain dari benua lain seperti Afrika, Amerika Selatan, Amerika Utara, Australia dan juga Eropah.

Peminat fanatik bola sepak sudah tentu terbiasa dengan nama-nama seperti Cha Bum-kun, Hong Myung-bo, Hwang Sun-hong, Lee Young-pyo, Lee Woon-jae, Park Ji-sung, dan Yoo Sang-chul.

Sementara pada masa kini, mereka memiliki Ji Dong-Won, Ki Seung-Yuen, Lee Chung-Yong, dan Son Heung-Min yang menjadi tonggak utama dalam skuad kendalian Shing Tae-Yong.

Berbekalkan nama-nama di atas, Korea Selatan berjaya meraih tempat dalam saingan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019. Bagaimanapun, ada seorang pemain Taeguk Warriors yang sedang melonjak naik bersama Red Bull Salzburg, iaitu Hwang Hee-Chan.

Jangan bandingkan dengan Bundesliga Jerman, LaLiga Sepanyol, Liga Perdana Inggeris, Ligue 1 Perancis atau Serie A Itali kerana pentas Bundesliga Austria masih belum mampu menyaingi popularity yang dimiliki Eredivisie Belanda atau Liga Primera Portugal, namun situasi itu membolehkan Hwang lebih cepat untuk berkembang kerana tekanan yang tidak terlalu tinggi menantinya.

Potensi dengan masa depan cerah yang dimiliki Hwang telah dihidu oleh skuad pencari bakat Salzburg sehingga membuatkan mereka tidak berfikir panjang untuk membawanya ke Austria pada 2015 walaupun dia belum merasai keadaan bola sepak profesional di Korea Selatan, sebelum itu.

Dalam masa sama, sewaktu menyertai Salzburg, Hwang langsung tidak menggunakan jersi pasukan yang dimiliki oleh syarikat minuman bertenaga, Red Bull GmbH, iaitu Austria Salzburg.

Dia sebelum itu menyertai FC Liefering, kelab dari Austria yang beraksi di divisyen dua dan bertindak selaku feeder buat Salzburg. Apa yang menarik, pemain yang mampu beraksi sebagai penyerang tengah atau pemain sayap in menampilkan aksi cukup gemilang di sana.

Dalam 31 perlawanan yang disertai bagi musim 2015/16, Hwang mencatatkan 13 gol. Aksi hebatnya itu juga diakui oleh pihak pengurusan Die Rotten Bullen, membuatkan pelaburan yang dikeluarkan untuk membawa masuk pemain muda berusia 22 tahun itu tidak salah.

Untuk musim 2016/17, Hwang dibawa ke Red Bull Salzburg untuk menjadi pertaruhan mereka di bahagian serangan bagi menghadapi Bundesliga, Piala Austria, play-off Liga Juara-Juara dan Liga Europa.

Kepercayaan itu pantas dibalas Hwang dengan sempurna apabila menghasilkan 16 gol dan dua bantuan jaringan dalam 35 penampilan di semua kejohanan. Pada musim itu juga, Salzburg menjulang kejuaraan berganda menerusi Bundesliga dan Piala Austria.

Hasil daripada penampilan hebat itu, dia dipanggil menyertai skuad Korea Selatan dan sehingga kini, Hwang sudah melakukan penampilan sebanyak 11 kali untuk Taeguk Warriors dan mencatat dua gol, namun persembahannya bagi musim 2017/18 sedikit terganggu akibat masalah kecederaan hamstring. Disebabkan itu, minit bermain bersama Red Bull Salzburg mula berkurangan.

Apabila dia sembuh, mujur pengendali Die Rotten Bullen, Marco Rose, tidak berdepan masalah untuk memberikannya peluang beraksi dalam kesebelasan utama.

Berdasarkan laman Transfermarkt, Hwang telah bermain sebanyak 31 kali dan menyumbat 12 gol dalam semua kejohanan bersama Salzburg pada musim ini. Salah satu daripada gol itu pasti tidak akan dilupakan penyokong Lazio kerana ia dihasilkan sewaktu aksi suku akhir kedua Liga Europa, baru-baru ini.

Menurut Ketua Pengarang Football Tribe Korea Selatan, Mihyun Mei, Hwang diakui sebagai salah seorang pemain muda yang paling berbakat dari Korea Selatan. Pemuda kelahiran Chunceon itu dikenali menerusi tahap agresif, kepantasan larian, hantaran dan kawalan bola yang baik.

Bagaimanapun, penduduk serta media di Korea tidak menggembar-gemburkan kebolehan Hwang. Membiarkannya menikmati setiap detik sewaktu menimba ilmu di Austria tanpa sebarang harapan dan jangkaan adalah jalan terbaik untuk Hwang berkembang dengan baik, selaras dengan usianya.

Disebabkan itu, mereka yakin Hwang akan mampu mengubah dirinya menjadi bintang masa depan buat Korea Selatan, tidak kira di peringkat Asia atau dunia