Santai Luar Negara

Diari dari Dusseldorf: Minggu lepas layan KL vs Selangor, minggu ini layan Schalke vs Dortmund!

Penulis Football Tribe, Khairul Nizam kini berada di Dusseldorf, Jerman atas jemputan khas daripada pihak Bundesliga untuk mengenali liga mereka dengan lebih lanjut, serta melakukan liputan dua perlawanan Bundesliga! 

Hari Ketiga: Ahad 15 April 2018

Hari yang dinanti-nanti. Sebagai peminat bolasepak, kita sering mendengar perlawanan derby setempat, terutamanya di Eropah. Manchester Derby, Merseyside Derby, London Derby dan kalau di Jerman, paling terkenal pastilah Ruhr Derby. Pertembungan di antara dua bandar yang cukup terkenal dengan lombong arang suatu ketika dahulu. Schalke 04 menentang Borussia Dortmund.

Ketika kali pertama melihat jadual aktiviti di Jerman, memang ini yang paling menarik perhatian aku. Bukanlah nak kata Leverkusen vs Frankfurt tidak menarik, tetapi selaku penyokong KL yang ketika Klang Valley Derby menentang Selangor melihat stadium dipenuhi penyokong Selangor walaupun Kuala Lumpur yang menjadi tuan rumah, mestilah aku mahu melihat Riveirderby ini yang menarik perhatian peminat bolasepak Jerman setiap musim.

Namun, sebelum ke Veltins Arena, gelanggang Schalke ini, kami perlu ke satu tempat dahulu. Tempat di mana kami akan belajar mengenai sejarah bolasepak di Jerman. Muzium Bolasepak atau Football Museum merupakan tempat di mana anda boleh mengenali sejarah pasukan kebangsaan Jerman dan sejarah Bundesliga.

Di sini semuanya ada, daripada kasut yang dipakai Mario Gotze ketika menjaringkan gol penentu kejuaraan Piala Dunia 2014, abu Paul The Octopus, sejarah kejuaraan pertama Jerman di Piala Dunia dan banyak lagi. Selain sejarah mengenai Piala Dunia, ada juga diceritakan mengenai penglibatan Jerman di kejohanan Eropah, Sukan Olimpik dan pasukan wanita. Aku cuba mencari jika ada apa-apa cerita atau tiket perlawanan bolasepak Sukan Olimpik 1972 ketika Jerman Barat menentang Malaysia, sayangnya tidak ada.

Melawat Muzium Bolasepak di Jerman yang menceritakan banyak sejarahnya, aku terfikir, mungkinkah suatu hari nanti Malaysia akan ada muzium seperti ini yang akan menunjukkan pingat Sukan SEA dan satu Piala AFF Suzuki yang kita menangi? Setakat ini itu sekadar satu persoalan yang sukar dijawab.

Selesai lawatan ke Muzium Bolasepak yang aku sangat sarankan jika ada berkunjung ke Dortmund, kami terus bergegas ke Gelsenkirchen untuk aktiviti yang paling kami nantikan dalam kunjungan ke Jerman ini. Veltins Arena, stadium yang boleh memuatkan 62,000 orang penonton akan menjadi gelanggang buat Ruhr Derby kali ini. Stadium ini mempunyai bumbung yang boleh dibuka dan ditutup setiap kali hujan. Padangnya juga boleh dialihkan ke luar stadium jika ada sebarang konsert berlangsung.

Sampai di Veltins Arena, kami dibawa dulu meneroka stadium ini. Malangnya kami tiba sedikit lewat, jadi kami tidak dapat melalui terowong pemain yang direka mengikut bentuk lombong arang batu yang terkenal di kawasan ini.

Apa yang menarik perhatian aku selain daripada stadium hebat ini adalah petugas mereka. Tanyalah setiap seorang daripada mereka, mereka memang bencikan Dortmund. Pegawai yang melayan kami bahkan enggan menyebut nama Dortmund! Ini menunjukkan bagaimana kelab ini memang mengambil petugas, samada separuh masa atau sepenuh masa yang memang mempunyai jiwa Die Königsblauen (The Royal Blues). Dalam mengejar pasaran dunia, tidak sesekali kelab ini melupakan penduduk setempat dan asal usul mereka. Satu lagi perkara menarik, setiap kali perlawanan, Schalke akan memperuntukkan 1,000 tiket percuma untuk penyokong yang kurang berkemampuan. Bagi mereka, semua orang berhak menyokong Schalke.

Dan Schalke sekali lagi membuktikan bahawa mereka adalah raja Riveirderby musim ini. Anak buah Domenico Tedesco menunjukkan Dortmund kenapa mereka berada di tangga kedua dan bukan Dortmund. Gol jaringan Yevhen Konoplyankan dan sepakan percuma padu bak peluru berpandu dari Naldo pada separuh masa kedua membuatkan penyokong Schalke sudah merancang untuk Liga Juara-Juara musim hadapan. Dua gol, menang dan empat mata di depan Dortmund. Tersenyum penyokong Schalke sepanjang minggu ini.

Apa yang membuat aku tertarik adalah apa yang berlaku selepas tamat perlawanan. Ketua jurulatih Schalke, Domenico Tedesco mengetuai sorakan bersama penyokong sambil pemain-pemain Schalke menari di atas padang. Mungkinkah kita boleh melihat B. Sathianathan, Fabio Maciel, Datuk K. Rajagobal atau mana-mana jurulatih di Malaysia berbuat demikian selepas memenangi perlawanan? Mungkin tidak, tapi apa yang aku ingin tekankan bahawa daripada jurulatih sehingga petugas, semuanya memang berjiwa biru Schalke.

Tamat perlawanan ini maka selesailah dua perlawanan untuk ditonton di Jerman. Entah bila lagi aku akan dapat peluang seperti ini lagi. Mungkin selepas ini boleh aku cuba saksikan perlawanan pasukan lain seperti Bayern Munich, St Pauli dan kelab lain di Jerman.

Tapi lawatan ini belum habis lagi, besok aku akan ke Signal Iduna Park, stadium keramat Borussia Dortmund dan melihat sendiri akademi pemain muda Dortmund. Mana tahu aku akan berjumpa bakal bintang Dortmund yang satu hari nanti akan mengambil alih tempat Marco Reus, Mario Gotze dan Nuri Sahin!

[Hari Pertama] – Diari Dari Dusseldorf: Ikuti pengembaraan seorang anak Malaysia di bumi Jerman dan Bundesliga

[Hari Kedua] – Diari dari Dusseldorf: Bukan selalu dapat tengok Kevin Volland jaringkan hat-trick di Bay Arena!