Santai Luar Negara

Diari dari Dusseldorf: Ikuti pengembaraan seorang anak Malaysia di bumi Jerman dan Bundesliga

Penulis Football Tribe, Khairul Nizam kini berada di Dusseldorf, Jerman atas jemputan khas daripada pihak Bundesliga untuk mengenali liga mereka dengan lebih lanjut, serta melakukan liputan perlawanan di antara Borussia Dortmund dan Schalke hujung minggu ini!

Hari Pertama: Jumaat 13 April 2018

Perjalanan aku bermula pada pukul 11.15 malam pada hari Khamis. Secara jujurnya, ada rasa teruja dan gementar kerana buat pertama kali akan ke Jerman, satu negara Eropah yang cukup gah dengan falsafah bolasepak. Bukan selalu aku mendapat peluang sebegini. Mengembara sambil menyelami budaya bolasepak dan juga dapat menyaksikan kehebatan kelab-kelab Jerman di negara mereka sendiri? Mana mungkin aku tolak.

Aku menaiki pesawat Turkish Airlines menuju ke Istanbul dan sejurus tiba nanti aku akan terus menaiki pesawat menuju ke Dusseldorf. Aku memang tidak pernah mendengar nama Dusseldorf sebelum ini, tapi tempat ini tiada kena mengena dengan Dumbledore walaupun bunyinya seakan sama. Satu filem sempat aku tonton sebelum hanya dapat tidur selama dua jam lebih kerana rindukan katil di rumah yang empuk sebelum tiba di Istanbul. Di sana terus aku bergegas untuk menaiki pesawat ke Dusseldorf.

Dua jam 45 minit masa diambil untuk ke Dusseldorf. Sampai di sini aku sudah tahu betapa rakyat Jerman cintakan bolasepak. Ketika ditanya apa tujuan aku ke Jerman, aku dengan teruja menjawab “ To watch football”. Air muka pegawai imigresen yang sebelum itu begitu kelat terus bertukar ceria dan menyambut kedatanganku. “You will love the atmosphere in the stadium,” kata pegawai Imigresen itu.

Lawatan aku ke bumi Jerman ini adalah kerana memenuhi jemputan Bundesliga International yang membawa seramai 15 orang penggiat media dari seluruh Asia Tenggara. Tujuannya? Sebagai langkah merapatkan hubungan dan memperkenalkan kami kepada budaya bolasepak Jerman. Lawatan ini akan mengambil masa empat hari dengan pelbagai aktiviti yang sudah diatur.

Hari pertama tiba, seperti biasa, sesi memperkenalkan diri dan juga bengkel belajar mengenai pengurusan Bundesliga yang cukup menarik. Bengkel ini dikendalikan oleh Maurice Gorges, Pengarah Pemasaran dan Jualan APAC Bundesliga International. Ini bukan bengkel biasa. Seperti pengenalan mereka, “Bolasepak jujur yang penuh dengan semangat,” sesi ini memang membuka mata.

Misi mereka mudah, mahu memecah masuk ke Asia terutamanya Asia Tenggara, tetapi bukan sekadar untuk pemasaran. Seperti kata Maurice, orang Jerman apabila berkerja, mereka melakukannya dengan rapi. Mereka mahu menembusi Asia Tenggara bukan semata-mata wang, tetapi mahu mencari bakat-bakat baru juga melakukan kerjasama erat dengan pasukan-pasukan atau organisasi bolasepak di Asia Tenggara.

Di Jerman, peminat bolasepak sama seperti di Malaysia. Ada yang ke stadium, dan ada yang cuma menonton di kaca tv. Malam itu kami dibawa merasai satu budaya yang sedikit berbeza, tetapi ada persamaan dengan kita di Malaysia. Kalau kita di Malaysia ada kedai mamak dengan skrin besar, di Jerman mereka ada Bir dan menonton perlawanan bolasepak di Bar. Di Malaysia ada istilah ‘mengeteh’, jadi mungkin di Jerman jadi ‘mengebir’? Begitulah bolasepak. Biar di mana kita berada, sentiasa akan ada persamaan.

Itulah sahaja catatan hari pertama ini. Penat masih terasa, tetapi hari kedua ditunggu dengan rasa teruja.