Malaysia Liga Super Malaysia

Raul Longhi mahu lihat Johor DT bangkit semula menentang PKNS

Ketua jurulatih JDT, Raul Longhi mahu pemain-pemainnya melupakan detik hitam kekalahan 4-0 menentang Persija Jakarta dalam saingan Piala AFC baru-baru ini dan bangkit menentang PKNS FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin hari ini.

Katanya, pemain JDT perlu memberikan tumpuan sepenuhnya memandangkan pasukan Harimau Selatan itu terpaksa berhadapan dengan saingan berbeza bulan ini dengan aksi suku akhir Piala FA menentang Pahang pada 20 April, diikuti Song Lam Nghe An FC dalam saingan terakhir Piala AFC (24 April).

“Ketika ini kami hanya fokus kepada perlawanan bertemu PKNS dan kemudian bertemu Pahang dalam Piala FA. Ini dua perlawanan penting.

“Kami perlu bermain dengan konsisten untuk memastikan kemenangan jika ingin kekal sebagai pendahulu liga dan layak ke separuh akhir Piala FA, malah kami yakin pasukan akan lebih kuat bulan depan apabila pemain import baharu menyertai JDT,” katanya kepada Berita Harian.

JDT dijangka tidak akan berhadapan dengan masalah menentang PKNS FC namun pemain pertahanan negara, Fadhli Shas menganggap JDT tidak akan sekali-kali mengambil mudah dengan mana-mana pihak lawan pun yang dihadapi.

“Untuk perlawanan bertemu PKNS FC, kami akan memberikan komitmen yang sepenuhnya dan persembahan terbaik bagi memastikan tiga mata menjadi milik JDT.

“Dengan kedudukan mereka di tangga ketiga dalam carta liga juga jelas menunjukkan bahawa kami perlu berhati-hati dan tidak sesekali memandang rendah keupayaan mereka. Kami akan bermain di halaman sendiri dan akan memastikan rekod kemenangan JDT di Stadium Larkin terus dikekalkan.

“Dari sudut taktikal, pasukan PKNS FC memiliki kekuatan di bahagian tengah dan juga di bahagian serangan. Walau apa pun, kami perlu berhati-hati dari setiap aspek pasukan PKNS FC pada perlawanan ini,” katanya menerusi laman Johor Southern Tigers.