Malaysia Liga Super Malaysia

Falsafah bolasepak Fajr Ibrahim di Kelantan? Tiga mata dalam setiap perlawanan

Jurulatih baharu Kelantan, Fajer Ibrahim menegaskan beliau tidak berminat untuk membincangkan keputusan seri atau kalah sebaliknya mahu memastikan The Red Warriors meraih tiga mata penuh dalam saingan Liga Super menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi,  malam ini.

Katanya, beliau sendiri sudah mengkaji corak permainan Negeri Sembilan namun pada masa yang sama juga mengharapkan pemain Kelantan menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam perlawanan kali ini.

“Kamu kena faham falsafah bola sepak saya. Setiap perlawanan saya mahukan kemenangan, tidak kira sama ada pasukan ini bermain di tempat sendiri ataupun di gelanggang lawan. Sebagai jurulatih baharu, saya anggap perlawanan ini cukup penting dan kami kena dapatkan tiga mata itu.

“Saya hanya mahu pemain menunjukkan aksi terbaik di atas padang, apa yang berlaku selebihnya saya tidak akan tahu dan sayalah yang bertanggungjawab terhadap segala-galanya mengenai pasukan ini.

“Saya fikir corak permainan kedua-dua pasukan ini tidak jauh beza cuma saya harap prestasi Kelantan lebih baik berbanding dalam perlawanan sebelum ini,” katanya kepada Berita Harian.

Mengulas lanjut, Fajer turut bersedia mengambil risiko menurunkan pemain muda dalam perlawanan malam ini.

“Saya puas hati dengan prestasi mereka, sekarang kami ada ramai pemain muda. Ini satu sejarah buat pasukan Kelantan, bola sepak memerlukan darah baharu dan perkara inilah yang saya cuba lakukan untuk pasukan ini.

“Kelantan ada ramai pemain berbakat jadi mengapa kita tidak beri peluang kepada mereka ? Penyokong akan dapat lihat lebih ramai pemain muda bermain nanti,” katanya.