Santai Luar Negara

Diari Dari Dusseldorf: Bukan selalu dapat tengok Kevin Volland jaringkan hat-trick di Bay Arena!

Penulis Football Tribe, Khairul Nizam kini berada di Dusseldorf, Jerman atas jemputan khas daripada pihak Bundesliga untuk mengenali liga mereka dengan lebih lanjut, serta melakukan liputan dua perlawanan Bundesliga! 

Hari Kedua: Sabtu 14 April 2018

Hari pertama berjalan lancar. Tidur juga tenang dan lena akibat keletihan penerbangan yang lama. Tenaga sudah dicaj, ayuh mulakan hari kedua.

Kalau hari pertama lebih kepada pengenalan berkenaan Bundesliga dan bolasepak Jerman, hari kedua ini boleh dianggap pengenalan juga, tetapi mengenal dengan cara menikmati sendiri suasana di stadium. Stadium yang menjadi tujuan kami pada hari ini adalah Stadium BayArena di mana Bayer Leverkusen akan bertemu Eintracht Frankfurt. Mungkin ada yang akan merasakan dua nama ini tidak terlalu ‘seksi’ jika dibanding pasukan seperti Dortmund atau Bayern Munich, tetapi hakikatnya perlawanan ini penting buat kedua-dua pasukan yang sedang merebut slot terakhir ke Liga Juara-Juara musim hadapan.

Menaiki bas melalui lebuhraya Jerman, kami disajikan pemandangan yang mungkin tidak ada di Malaysia. Tetapi tujuan kita bukan untuk masuk hutan, tetapi gelanggang keramat Bayer Leverkusen. Menghampiri stadium, kami dapat melihat gelagat penyokong Leverkusen yang melepak sambil minum bir di beberapa bar sebelum ke stadium.

Perlawanan bakal bermula dalam masa empat jam lagi, jadi kehadiran kami ke BayArena sekarang adalah untuk sesi ‘guided tour’. Kami dibawa berjalan-jalan ke dalam stadium yang cukup moden ini. Diiringi maskot Bayer Leverkusen, Brian the Lion, kami dibawa ke beberapa tempat seperti ruangan VIP, pusat media dan paling seronok, kami dibawa ke tepi padang dan mendapat peluang duduk di bangku pemain. Ah, rasa seperti Son Heung Min sebelum dia berpindah ke Spurs.

Selesai guided tour, kami terus menuju ke satu tempat yang sangat penting bagi Bayer Leverkusen. Akademi dan pusat latihan skuad muda Bayer Leverkusen. Lebih kurang 10 minit daripada stadium, terletaknya pusat penghasilan bakal-bakal bintang Bayer Leverkusen.

Di akademi ini terletaknya skuad bawah 8 tahun hingga bawah 15 tahun Bayer Leverkusen. Di sini juga lahirnya ramai bintang seperti Leroy Sane, Landon Donovan, Rene Adler dan terbaru Kai Havertz yang beraksi bersama skuad senior Leverkusen. Melihat kepada betapa rapi dan terjaganya pemain di akademi ini, terdetik di fikiran untuk meletakkan jawatan sebagai wartawan dan cuba sertai akademi ini walaupun sudah tua.

Malangnya kami tidak sempat untuk menyaksikan perlawanan di antara skuad bawah 10 tahun Bayer Leverkusen menentang Cologne kerana perlu bergegas ke BayArena kembali.

Setibanya kami di sana, kami lihat beberapa bas yang membawa penyokong Eintracht Frankfurt sudah tiba. Dengan bir di tangan, mereka menyanyi dan bergembira seakan-akan mereka ini sebenarnya mahu ke Coachella. Kalaulah mereka tahu apa yang bakal menimpa.

Kami dibawa ke tempat makan media dan memang seperti langit dan bumi kalau dibandingkan dengan di Malaysia. Makanan yang disediakan untuk para wartawan di sana bagaikan restoran mahal. Aiskrim, pasta, sup, bir, minuman ringan, semuanya ada. Cukup mewah. Kalau begini layanan di stadium Malaysia, pasti lebih ramai wartawan sukan yang mempunyai ukur lilit perut seperti planet Marikh.

Selesai makan, kami diperkenalkan dengan Jochen Rotthaus, Pengarah Pemasaran Bayer Leverkusen. Dia menerangkan sedikit sebanyak kepada kami mengenai perancangan Leverkusen untuk memecah masuk ke Asia seperti yang dirancang pihak Bundesliga International sendiri. Apa yang istimewa, kami dikejutkan dengan kehadiran bekas jurulatih kebangsaan Jerman, Rudi Voller.

Sekarang masa untuk aktiviti utama. Merasai sendiri pengalaman menyaksikan perlawanan bolasepak di Jerman. Memang menakjubkan. Apa yang membezakan stadium di Jerman dengan stadium lain di Eropah adalah ‘standing area’. Di kawasan ini, penyokong akan berdiri dan menyanyi sepuas-puasnya. Di Malaysia kita tiada kawasan seperti ini, jadi biasanya penyokong akan berdiri sendiri atau berdiri di atas kerusi sehingga kerusi patah.

Sorakan daripada penyokong Leverkusen dan Frankfurt bersahut-sahutan. Tidak mahu ditenggelami sorakan penyokong tuan rumah, 3000 penyokong Eintracht Frankfurt menyanyi sekuat-kuatnya untuk mengangkat semangan pasukan mereka. Malangnya Frankfurt tewas 1-4 kepada tuan rumah Leverkusen dengan Kevin Volland menjadi bintang selepas menjaringkan hatrik.

Sama seperti di Malaysia, selepas perlawanan kami ke ruangan menunggu atau dipanggil ‘mixed zone’ untuk sesi temuramah pemain. Bukan satu perkara mudah sebenarnya kerana kami ini bukan siapa-siapa di Jerman. Cuma sekumpulan media dari Asia Tenggara yang mahu merasai suasana bolasepak di Jerman.

Syukur kami dibantu pihak Bayer Leverkusen dan mendapat peluang menemuramah bintang meningkat naik mereka, Leon Bailey. Seperti biasa, soalan-soalan seperti perasaannya menewaskan Frankfurt, sasaran seterusnya dan juga soalan cepumas, “Jamaica atau England?” turut ditanya. Jawapan terhadap soalan terakhir itu adalah…..”No Comment”.

Selesai stadium pertama. Esok stadium kedua pula akan dikunjungi. Perlawanan yang ditunggu-tunggu. Perlawanan apa? Itu anda perlu tunggu.

[Hari Pertama] – Diari Dari Dusseldorf: Ikuti pengembaraan seorang anak Malaysia di bumi Jerman dan Bundesliga