Malaysia Liga Super Malaysia

Ini luahan hati Andik Vermansyah apabila turun menentang Selangor

Pemain sayap lincah Indonesia, Andik Vermansyah menghadapi kesukaran untuk melelapkan mata kerana terlalu asyik memikirkan perlawanan menentang Selangor di Stadium Darul Aman baru-baru ini.

Andik yang berpindah ke Kedah secara rasmi pada awal tahun ini setelah empat tahun bersama Selangor merupakan antara pemain yang mempamerkan aksi memberangsangkan apabila berjaya menewaskan Selangor 4-0 di halaman sendiri.

Katanya, meskipun sukar berhadapan dengan pasukan lamanya, kemenangan besar tersebut cukup menggembirakannya malah berpuas hati dengan prestasi dirinya serta kerjasama yang ditunjukkan antara rakan-rakan sepasukan.

“Saya akui susah ‘move on’ atau melupakan Selangor yang juga bekas pasukan yang saya wakili sebelum ini dan susah tidur memikirkan aksi menentang Selangor, namun sebagai pemain Kedah saya tetap profesional.

“Corak permainan Kedah sangat bagus dan boleh kita lihat pada kawalan bola yang dikuasai Kedah termasuk juga pertahanan yang beraksi dengan baik. Saya harap semoga Kedah dapat menjulang piala pada tahun ini.

“Saya sendiri gembira kerana sudah mendapat tempo permainan yang baik sesama rakan sepasukan terutama apabila menyerang dan bertahan. Saya bersyukur dapat beraksi dengan Kedah yang mempunyai ramai pemain berpengalaman beraksi dalam pasukan,” katanya kepada Berita Harian.

Andik turut menganggap rakan-rakan senegaranya, Ilham Udin dan Evan Dimas yang kini beraksi bersama Selangor memberi tentangan yang cukup hebat kepada pasukannya.

“Dua rakan senegara saya dari Indonesia, Ilham dan Ivan Dimas memberi tentangan yang hebat dan saya yakin mereka akan terus meningkatkan prestasi bersama Selangor.

“Mereka masih baharu di Selangor tetapi saya yakin mereka mampu buktikan seperti mana yang saya lalui dalam tempoh empat tahun bersama Selangor sebelum ini.

“Kepada penyokong Kedah termasuk penyokong ‘Andikmania’ saya berharap semoga semua terus menyokong saya dan Kedah,” katanya.