Malaysia Liga Super Malaysia

Menjelang pertembungan Kedah, skuad Red Giants terima berita positif

Skuad Selangor telah menerima berita yang cukup positif, menjelang pertembungan mereka menentang Kedah di Stadium Darul Aman, malam ini.

Menurut ketua jurulatih baru, Nazliazmi Mohamad Nasir, Azamuddin Akil sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan mungkin akan diturunkan untuk memperkuat bahagian sayap mereka di Alor Setar.

“Moral semua pemain berada di tahap terbaik terutama selepas meraih dua kemenangan berturut-turut dan Alex (Azamuddin) sudah bersedia diturunkan pada bila-bila masa,” kata Nazliazmi kepada Berita Harian.

Selangor akan turun beraksi malam ini dengan momentum yang cukup positif, terutamanya selepas mereka berjaya mencipta kemenangan besar 3-0 ke atas Kuala Lumpur dalam perlawanan derbi Lembah Klang di Stadium KLFA minggu lepas.

Walau bagaimanapun, rekod Selangor di pentas Liga Super masih agak mengecewakan. Skuad Red Giants telah mengalami tiga kekalahan berturut-turut sepanjang bulan Februari dan Mac, selain turut membolos sepuluh gol tiga perlawanan tersebut.

“Kami menghormati kedah sebagai satu pasukan yang baik dan hebat dalam Liga Super. Jadi, kami tidak boleh mengambil mudah terutama apabila mereka beraksi di gelanggang sendiri.

“Sudah pasti kami inginkan kemenangan dan membawa pulang mata dari Kedah selepas mengalami tiga kekalahan dalam perlawanan liga sebelum ini. Bukan mudah, tapi ia juga tidak mustahil.

“Apa yang saya lihat, kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang. Bagi Selangor, sudah pasti kami akan memberikan tentangan sengit kepada Kedah,” tambah Nazliazmi, jurulatih yang dilantik sebagai pengganti P.Maniam baru-baru ini.