Santai Berita

Barisan pemain ‘naturalisasi’ skuad Filipina selepas generasi adik-beradik Younghusband

Masih segar tentang kisah kejayaan skuad kebangsaan Filipina melayakkan diri buat pertama kali ke pentas Piala Asia 2019. Banyak pihak berpendapat kejayaan itu diraih kerana penglibatan pemain naturalisasi mereka. Anggapan itu mempunyai sedikit kebenaran, namun ini bukan hasil sebuah polisi yang dibina oleh persatuan bola sepak negara tersebut. Hakikatnya adalah, rakyat Filipina memang layak mempunyai lebih daripada satu kewarganegaraan, sekaligus membantu skuad bolasepak mereka.

Selepas generasi Neih Etheridge dan adik-beradik Younghusband (Phil dan James), berikut adalah antara pemain-pemain berkualiti yang dihasilkan “The Azkals”.

 

Daisuke Sato

Pemain berketurunan Jepun ini pernah menyertai akademi kelab gergasi Jepun, Urawa Red Riamonds. Walaupun baru berusia 24 tahun, kehadirannya memberi impak besar di posisi bek kiri. Sato kini merupakan salah seorang bakat muda Filipina yang sedang berkelana di Eropah bersama pasukan dari Romania, Sepsi Stantu Gheorghe.

Jeffrey Christaens

Pemain berusia 26 tahun ini pada awalnya bersaing dengan Sato di pertahanan kiri sebelum ditukarkan ke posisi sayap. Lahir dan membesar di Belgium serta sempat mewakili pasukan junior Club Brugge, pemain memiliki wajah tampan ini kini menjadi sebahagian daripada Ceres-Negros yang hampir menyertai saingan Liga Juara-Juara Asia 2018.

Iain Ramsay

Berdasarkan usia, Ramsay adalah barisan sezaman adik-beradik Younghusband. Bagaimanapun, khidmat pemain berketurunan Australia ini hanya digunakan Filipina sejak 2015. Dia sempat mewakili Adelaide United dan melbourne City FC. Kini, dia mewakili pasukan Felda United di pentas Liga Premier Malaysia.

Harry Foll

Pemain ini masih lagi belum menyarung jersi The Azkals, namun berkemungkinan besar akan membarisi skuad Filipina dalam saingan Piala Asia 2019. Foll yang baru berusia 20 tahun adalah bakat muda paling menyerlah di Filipina. Memiliki keturunan Jerman, dia kini beraksi bersama pasukan bawahan Bundesliga, Hansa Rostock.

Mike Ott

Ott telah mewakili The Azkals sejak 2016 dan mula menjadi tonggak utama di bahagian tengah. Sejak tahun ini, pemain berusia 25 tahun ini telah beraksi buat Ceres-Negros dan menjadi nadi utama ketika kemenangan ke atas Brisbane Roar FC sewaktu aksi kelayakan Liga Juara-Juara Asia.

Patrick Reichelt

Seorang lagi pemain Filipina yang berketurunan Jerman. Dia menjadi pemain utama Ceres-Negros sejak 2014 dan sejak itu dia mewakili skuad Filipina. Pemain sayap berusia 29 tahun ini turut beraksi ketika Filipina membelasah Indonesia 4-0 dalam saingan Piala AFF pada tahun tersebut.

Kevin Ingreso

Ingreso juga berketurunan Jerman dan mewakili Ceres-Negros. Beraksi di posisi tengah The Azkals, dia menjadi nadi penting yang membawa Filipina ke Piala Asia. ketika menentang Tajikistan, dia menyumbat satu gol menerusi sepakan penalti.

Michael Falkesgaard

Penjaga gol ini mempunyai keturunan Denmark dan kini menjadi pelapis buat Neil Etheridge dalam skuad Filipina. Lahir dan membesar di tanah kelahiran Peter Schmeichel, Falkesgaard sempat mewakili Brondby dan FC Midtjylland sebelum berhijrah ke kelab Thailand, Bangkok United.