Luar Negara Eropah

Juventus tidak dirompak oleh pengadil di Bernabeu, hanya sekadar dilanda nasib malang

Bola sepak Itali telah mengembalikan semula kebanggaan yang pernah mereka kecapi di Eropah pada minggu ini menerusi kebangkitan dramatik AS Roma serta Juventus yang hampir melakukan perkara sama, 24 jam kemudian. Mendahului 3-0, mereka hampir pasti mengheret aksi ke waktu tambahan dan tentunya menyentuh hati apabila aksi gemilang itu akhirnya ditamatkan melalui sepakan penalti tatkala masa sebenar hanya berbaki 30 saat. Bagaimanapun, persembahan itu tetap akan kekal dalam ingatan.

Anda tidak akan dapat lari daripada berasa simpati terhadap Gigi Buffon dalam perlawanan yang kemungkinan besar menjadi penampilan terakhirnya di pentas Liga Juara-Juara Eropah, apabila dilayangkan kad merah kerana membantah keputusan pengadil menganugerahkan sepakan penalti buat lawan. Mungkin dia cuba memperbetulkan pandangannya pada keesokan harinya, selepas komen yang melampau terhadap Michael Oliver.

Saya merasakan agak terlalu ekstrem untuk menyamakan situasi itu dengan insiden melibatkan Zinedine Zidane dalam penampilan terakhirnya sebagai pemain, dilayangkan kad merah ketika beraksi untuk Perancis di final Piala Dunia. Mengatakan bahawa pengadil lebih baik duduk di bangku penonton sambil menikmati makanan tentunya berbeza berbanding menanduk dada pemain lawan. Saya berpendapat luahan itu mempunyai kaitan dengan kekecewaan akibat kegagalan Itali melayakkan diri ke Piala Dunia selepas tunduk di tangan Sweden, menyebabkan ia menjadi tidak terkawal.

Apa yang boleh dilihat adalah bagaimana orang ramai menggunakan insiden itu untuk menambahkan kemarahan yang sedia ada. Adakah ia penalti yang terus terang? Tidak, dari satu sudut pandangan, Medhi Benatia dilihat cuba mendapatkan bola dan sepakannya terkena dada Lucas Vazquez tetapi dalam satu sudut lain, dia tampak menolak pemain sayap Real Madrid itu. Tetapi adakah keputusan pengadil menghadiahkan sepakan penalti tersebut tidak adil? Tidak juga, kerana apabila melihat insiden tersebut buat kali pertama, saya yakin ia penalti yang sah.

Presiden Juventus, Andrea Agnelli, mencabar Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk diperkenalkan dalam kancah Liga Juara-Juara tetapi apabila memikirkan bagaimana penyokong-penyokong, pemerhati bola sepak serta bekas pengadil melihat insiden itu, ribuan ulang tayang tetap tidak akan dapat membuatkan semua pihak bersetuju dengan keputusan itu.

Reaksi yang dapat dilihat jelas sekali mendatangkan pelbagai pandangan dan kritikan. Anda sama ada menerima atau menolaknya, itu yang orang ramai mahukan. Ia bukan sahaja boleh dilihat dalam bidang sukan tetapi turut berlaku dalam dunia hiburan dan kancah politik. Anda tidak boleh menentang bangsa atau kelompok sendiri.

Anda tidak boleh mengatakan bahawa ia jelas satu penalti dan sesiapa yang berpendapat sebaliknya akan dilihat sebagai pro Juve, melibatkan konspirasi media yang memilih Bianconeri sejak lebih 100 tahun. Secara adil, silap untuk mengatakan kelompok yang berpendapat tindakan Benatia itu satu kesalahan adalah anti Juve dan cuba untuk menjatuhkan pasukan paling berjaya dalam bola sepak Itali.

Ironinya, perdebatan itu telah memberi kesan kepada kedua belah pihak, terutamanya akan cara mereka memaki-hamun atau mengkritik antara satu sama lain tanpa menyedari kekurangan sendiri. Peminat Serie A yang lain hanya duduk mentertawakan Juventus yang menyifatkan pengadil telah merosakkan kelab Itali di kancah Eropah dan mempersoalkan keputusan. Mereka gagal untuk menyedari bahawa ini adalah cara terbaik untuk mengawal diri dan melakukan perkara sepatutnya apabila berada dalam situasi sama.

Peminat-peminat Juve merungut bahawa “yang tewas mencari alasan” apabila keputusan pengadil menentang mereka tatkala reaksi mereka ketika ini hanya menegakkan benang yang basah. Real Madrid, sebelum ini Barcelona, adalah Juventus versi Eropah, pasukan yang akhirnya menerima “layanan istimewa” kerana mereka merupakan pasukan gergasi dan kuat. Jika anda membawa prestij dan kekuatan, anda akan sentiasa menerima kelebihan. Ia bukan satu konsep rasuah tetapi sifat semulajadi manusia.

Pastinya pedih menyaksikan satu kebangkitan yang berakhir hanya dalam tempoh 30 saat yang terakhir sebelum menuju masa tambahan. Boleh difahami untuk merasai kesedihan itu dan aksi itu tidak sepatutnya berakhir begitu. Namun, ia bukan satu rompakan atau penipuan, tetapi hanya aksi bola sepak yang penuh dengan kejutan.

Oleh Susy Campanale
(www.football-italia.com)