Luar Negara Eropah

Rasa dendam Juventus dan rekod buruk Real Madrid di pusingan kalah mati

Undian suku akhir Liga Juara-Juara Eropah musim ini telah dilangsungkan dan hasilnya boleh dikatakan agak menarik. Selain pertemua dua kelab Inggeris iaitu Liverpool dan Manchester City, Sevilla bakal berdepan Bayern Munich dan Barcelona bakal ke Itali bertemu AS Roma. Paling menarik, tentunya aksi Juventus dan Real Madrid yang mengundang memori akan final musim lalu.

Banyak sebab untuk menjadikan pertemuan The Old Lady dan Los Blancos sangat menarik. Yang pertama sudah pasti status pasukan elit yang dipegang. Walaupun kehebatan Real Madrid di pentas Liga Juara-Juara sudah tidak perlu diterangkan tetapi harus diingat, Bianconeri sering meraih tempat di pentas final. Kedua-dua kelab juga memiliki kelompok penyokong yang sangat besar. Bukan sahaja di Italia tau Sepanyol, malah seluruh dunia.

Sebab kedua adalah kekuatan pasukan masing-masing. Di atas kertas, kedua-dua pasukan berkongsi kehebatan kerana masing-masing ditunjangi oleh barisan pemain-pemain hebat dunia. Tidak terkecuali, istilah BBC yang dipegang dua gergasi Eropah ini iaitu Barzagli, Benatia, Chiellini menentang Bale, Benzema, Cristiano, sekaligus menjadi faktor utama untuk semua peminat bola sepak tidak sabar menantikan aksi getir ini, ditambah dengan nama-nama besar yang membarisi setiap pasukan.

Ketiga, aksi Juve dan Madrid menjadi hangat disebabkan perasaan dendam yang menebal dalam kedua-dua pasukan. Masih segar di ingatan ketika Cristiano Ronaldo dan rakan sepasukan menghancurkan impian Juventus di Cardiff dalam perlawanan akhir musim lalu di Cardiff. Dalam perlawanan itu, Mario Mandzukic mencatat jaringan akrobatik yang menarik untuk memadamkan gol awal Ronaldo, namun segalanya berubah dalam babak kedua.

Zinedine ZIdane mengarahkan Casemiro untuk melakukan percubaan jarak jauh bagi menguji sejauh mana tahap kekebalan Gianluigi Buffon di gawang dan ianya memberikan gol kedua pasukan. Kemudian, Ronaldo menambah gol kedua peribadi sebelum bintang muda Madrid, Marco Asensio, menamatkan pesta gol 4-1 ke atas The Old Lady.

Kenangan buruk di Cardiff itu pastinya masih memberi kesan kepada pemain-pemain seperti Paulo Dybala dan Gonzalo Higuain. Juventus tentunya menyimpan hajat untuk membalas kembali kekecewaan itu. Ya, rekod pertemuan kedua-dua pasukan dipegang oleh Madrid, apabila memenangi sembilan daripada 19 perlawanan manakala Juve memegang rekod lapan kemenangan. Bagaimanapun, skuad kendalian Zidane belum pernah menang dan melepasi empat pertemuan di peringkat kalah mati apabila berjumpa Juve.

Daripada statistik itu, Juve tentunya memasang hajat dengan penuh keyakinan. Pertemuan mereka kali terakhir di peringkat kalah mati adalah pada 2015, dimana Juve mengatasi Madrid dengan keputusan agregat 3-2 di separuh akhir, sekaligus menempah tiket final menentang Barcelona. Waspada Madrid!

Bagaimanapun, ia sekadar rekod masa lampau yang tidak boleh terlalu diikuti. Ketika ini, apa sahaja boleh berlaku. Pertemuan Juventus dan Real Madrid tentunya seimbang dan menjadi perlawanan yang paling dinantikan pada musim ini.