Asia AFC Cup

Jakmania pecahkan rekod kehadiran Piala AFC

Selain daripada aksi mantap daripada barisan pemain Persija Jakarta, ada perkara lain cukup mengagumkan dalam perlawanan di antara Persija dan Johor Darul Ta’azim (JDT) malam semalam.

Sokongan padu The Jakmania semalam telah membuatkan pemain-pemain JDT sukar beraksi baik dan apa yang lebih menakjubkan kehadiran penyokong di Stadium Gelora Bung Karno semalam telah memecahkan rekod kehadiran perlawanan Piala AFC.

Seramai 60,157 orang penonton telah hadir dalam perlawanan tersebut, memecahkan rekod sebelum ini seramai 58,604 orang penonton yang menyaksikan perlawanan akhir Piala AFC di antara Al-Qadsia dan Al-Ittihad di Stadium Jaber Al Ahmad.

Stadium Gelora Bung Karno sebelum ini mampu memuatkan 76,127 orang, namun setelah dibaik pulih untuk Sukan Asia yang akan berlangsung tahun ini, kapasiti stadium tersebut telah dikurangkan.

Sebelum ini perlawanan Persija sekadar memecahkan rekod bagi perlawanan bagi peringkat kumpulan, apabila 49,056 penonton hadir ke Stadium GBK ketika perlawanan di antara Persija menentang Tampines Rovers yang lalu.

Sokongan padu penyokong Persija itu menerima pujian daripada Ketua Pengarah Persija, Gede Widiade.

“Jakmania memang top. Saya berikan penghormatan kepada mereka kerana selalu memberikan 100 peratus sokongan setiap kali Persija beraksi. Semoga sokongan ini berterusan kepada Persija. Mereka ini bagaikan pemain ke-12 dan kehadiran mereka memang selalu diharapkan pemain.”

Pujian kepada Jakmania turut dihamburkan kepada wira perlawanan semalam, Marko Simic.

“Saya tahu di perlawanan terakhir di Liga, penyokong kami telah memecahkan rekod kehadiran. Tapi apa yang saya lihat pada mala mini (semalam) memang luar biasa. Perlawanan yang cukup menarik, JDT adalah salah satu pasukan terbaik di Asia dan mereka melihat stadium ini penuh. Menakjubkan.”