Asia Berita

Misi ACL 2019 alasan yang sesuai untuk kekalahan JDT di Jakarta?

Apa sudah jadi dengan JDT?

Pernah memenangi Piala AFC pada tahun 2015, tapi kini mungkin sukar untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya? Apa sebenarnya yang sedang berlaku di JDT sehingga mereka boleh tewas 4-0 kepada Persija Jakarta yang ditumbangkan mereka 3-0 di Larkin dalam perlawanan pertama.

Segalanya tidak menjadi buat JDT dalam perlawanan malam tadi. Barisan pertahanan tidak mengawal ketat Simic, pemain tengah seakan-akan tiada visi dan barisan serangan yang tumpul.

Menurut ketua jurulatih JDT, Raul Longhi menerusi satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers,dia tiada pilihan selain terpaksa menurunkan pemain simpanan kerana perlu melakukan penggiliran pemain ekoran jadual padat pasukan.

“Sudah tentu saya tidak gembira dengan keputusan perlawanan malam ini. Tetapi semua harus faham, kami terpaksa melakukan penggiliran pemain. Mengapa? Ini adalah kerana jadual perlawanan kami terlalu padat dan pertandingan yang paling mustahak tahun ini adalah liga disebabkan ianya adala untuk Liga Juara-Juara AFC (ACL). Piala FA juga penting untuk kami.”

Mungkin ada betulnya apa yang dikatakan Longhi itu. Menang liga dan layak ke ACL adalah sasaran utama JDT yang sudah beberapa tahun perlu melalui jalan sukar untuk layak ke ACL.

Apa yang mengecewakan, barisan pemain yang beraksi semalam walaupun merupakan pemain simpanan dan ada yang beraksi di JDT II, tetapi kesemuanya pernah atau masih beraksi dengan skuad kebangsaan. Peluang seperti ini perlu diambil mereka untuk membuktikan mereka layak berada dalam kesebelasan utama.

Apa yang paling mengecewakan dalam perlawanan semalam adalah JDT tidak banyak memberikan ancaman kepada benteng pertahanan Persija. Kurangnya gerakan dan percubaan merbahaya daripada Darren Lok, Syafiq Ahmad dan Nazmi Faiz yang beraksi di bahagian serangan.

“Dalam bolasepak, jikalau serangan kami tumpul, memang susah untuk bersaing. Jadi, langkah terbaik adalah kami melakukan penggiliran pemain dan ini sememangnya merupakan perkara yang kami harus lakukan,” kata Longhi lagi.

Mungkin semua ini bakal berubah apabila jendela perpindahan dibuka nanti. Kehilangan Jorge Pereyra Diaz dan usia Luciano Figueroa membuatkan JDT sukar bersaing dalam semua kejohanan. Mungkin apabila Harry Novillo dan seorang lagi pemain import menyertai JDT nanti, Harimau Selatan akan kembali mengaum.