Malaysia Liga Super Malaysia

Stadium Perak jadi zon larangan merokok

Bolasepak diminati semua orang tanpa mengira jantina, umur, bangsa mahupun agama. Menyaksikan perlawanan di stadium dan menyokong pasukan kegemaran bagaikan acara komuniti dan ada yang menjadikan aktiviti keluarga.

Antara perkara negatif yang sering berlaku di kawasan stadium ketika menyaksikan perlawanan adalah masalah sampah merata-rata dan juga ada segelintir individu yang menghisap rokok tanpa menghiraukan orang di sekelilingnya.

Stadium Perak kini akan menjadi zon larangan merokok bermula pada perlawanan suku akhir kedua Piala FA pada 21 April ini di antara Perak dan PKNS FC.

Peraturan ini dibuat selepas banyak aduan diterima mengenai penonton yang merokok di dalam stadium. Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan seperti dilaporkan Harian Metro, dia berharap Majlis Bandaraya Ipoh akan mengenakan denda kepada siapa yang melanggar peraturan.

“Kenakan denda atau hukuman setimpal terhadap mereka yang melanggar larangan itu.”

Sebenarnya, sebelum Stadium Perak diumumkan sebagai kawasan larangan merokok, tahukah anda bahawa di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017 , anda dilarang merokok di mana-mana kawasan dalam stadium. Jika didapati bersalah, anda boleh didenda RM10,000 atau penjara melebihi 2 tahun.

Buat masa ini tidak banyak stadium yang menjalankan penguatkuasaan terhadap larangan ini. Mungkin ada yang meletakkan papan tanda, tetapi kurang penguatkuasaan.

Ada yang ke stadium membawa anak-anak kecil, ada juga yang mungkin tidak merokok dan tidak tahan dengan asap rokok. Jika perlu dan rasa mahu menghisap rokok, mungkin semua pihak stadium boleh menyediakan ruangan merokok untuk mereka seperti di lapangan terbang.