Malaysia Liga Super Malaysia

Kelantan pertahan tindakan tamatkan kontrak pemain

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) hari ini mempertahankan tindakannya yang menamatkan kontrak pemain ketika saingan liga masih lagi berlangsung.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, isu penamatan kontrak beberapa pemain dilakukan dengan perbincangan bersama pemain.

“Ayat tidak profesional tidak sepatutnya digunakan terhadap pengurusan KAFA, kami juga ada cara tersendiri dalam mengendalikan pasukan.

“Cuma apa yang berlaku sebelum ini membabitkan individu tertentu sahaja, sepatutnya perlu dirujuk kepada KAFA dahulu sebelum membuat kenyataan. Sebelum ini pun kita pernah tamatkan kontrak beberapa pemain atas persetujuan bersama termasuk tuntutan mereka pun kami tunaikan melalui perbincangan.

“Contohnya pemain import Ferdinand Sinaga, kami bayar gaji untuk Mac sahaja seperti mana dipersetujui olehnya dan tiada tuntutan pun dibuat kerana dia memahami kontraknya,” katanya kepada Berita Harian.

Mengulas mengenai isu penamatan kontrak terhadap pemain termasuk S. Veenod, Bibi Ramjani menegaskan KAFA sebenarnya masih belum menamatkan kontrak pemain terbabit dan akan membuat perbincangan selanjutnya sebelum mencapai sebarang keputusan.

“Ada beberapa pemain yang akan digugurkan termasuk Veenod. Kontrak mereka belum dibatalkan lagi cuma akan dipanggil semula untuk berbincang,” katanya.

Dalam pada itu, Bibi Ramjani menganggap KAFA sudah belajar daripada kesilapan lalu namun beliau akui masih lagi terdapat kelemahan yang perlu diatasi.

“Kalau hutang pengurusan dulu pun kami masih tolong bayarkan, takkan kami nak buat hutang baharu tanpa sebab. Kami belajar dari kesilapan dulu walaupun masih baharu dalam persatuan ini dan belum cukup lagi untuk capai kesempurnaan,” katanya.