Malaysia Berita

JDT Labur RM1.4 Juta Untuk Sains Sukan

Johor Darul Ta’zim (JDT) jelas bersedia untuk membelanjakan wang yang besar untuk memastikan pasukan mereka konsisten dan lebih berjaya.

Menurut satu kenyataan yang diterbitkan di halaman Johor Southern Tigers, pengarah sukan JDT, Martin Perst mengakui bahawa skuad Harimau Selatan bersedia untuk berbelanja besar untuk program sains sukan terutama untuk para pemain supaya mereka boleh memperbaiki persembahan mereka ke tahap yang lebih tinggi .

“JDT telah membuat keputusan untuk membelanjakan RM1.4 juta untuk program sains sukan di mana kami ingin mendapatkan yang terbaik dari Eropah dan Asia dalam usaha membantu para pemain dalam segala aspek.

“Ini termasuk menyesuaikan teknik latihan fizikal, menggunakan peralatan yang berbeza, diet yang lebih baik serta bantuan psikologi untuk memperkuat aspek mental mereka.

“Ini adalah jenis pelaburan yang akan kami lakukan pada bulan Disember ini,” kata Perst di sini hari ini (Selasa).

Penggunaan sains sukan dalam bola sepak bukan sesuatu yang baru kerana program sebegini digunakan secara meluas dan telah menjadi elemen penting bagi banyak pasukan.

Melalui penyelidikan yang luas ke arah tindak balas badan manusia apabila beberapa rangsangan diberikan, fokusnya adalah bagaimana membantu pemain dalam mencapai persembahan terbaik mereka di padang permainan.

Untuk rekod, musim ini menyaksikan JDT terus menguasai Liga Super Malaysia apabila mereka memenangi gelaran liga kelima berturut-turut.

Kejayaan itu membolehkan mereka mencipta sejarah dengan menjadi pasukan pertama dari Malaysia yang akan muncul di Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.

Sebelum ini, JDT telah menggegarkan benua Asia apabila memenangi Piala AFC pada tahun 2015 dengan mengalahkan pasukan Tajikistan, Istikol 1-0 untuk mengangkat trofi berprestij itu.