Luar Negara Berita

FIFA sahkan VAR akan digunakan di Piala Dunia 2018

Ada yang bersetuju, ada yang tidak, tetapi mahu atau tidak, ianya akan berada di Russia.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah mengesahkan bahawa Bantuan Video Pengadil (VAR) akan digunakan di Piala Dunia Russia 2018 yang akan menjelang tidak lama lagi.

Presiden FIFA, Gianni Infantino telah menyatakan bahawa keputusan tersebut dipersetujui dalam mesyuarat badan pentadbir FIFA pada hari Jumaat di Colombia.

Pengenalan VAR di Piala Dunia telah dijangka apabila Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB) telah mencapai keputusan untuk menerima teknologi berkenaan awal bulan ini, selepas percubaan selama dua tahun.

Pengenalan VAR kepada perlawanan bolasepak menerima pendapat berbeza di kalangan jurulatih, pemain dan penyokong. Selepas digunakan dalam perlawanan Piala FA dan Piala Carabao, pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino telah menyatakan kerisauannya terhadap teknologi baru ini kerana ia akan membunuh emosi dalam perlawanan.

Presiden UEFA, Aleksander Ceferin juga sebelum ini telah menyatakan bahawa VAR tidak akan digunakan di Liga Juara-Juara musim hadapan dan mahu melihat bagaimana penggunaan VAR di Piala Dunia nanti sebelum membuat apa-apa keputusan.