Luar Negara Eropah

Ketegangan di antara Russia-Britain hantui perlawanan Arsenal-CSKA Moscow

Lebih kurang sama seperti apa yang terjadi di antara Malaysia dan Korea Utara dulu.

Itulah yang berlaku kepada penyokong Arsenal selepas pasukan mereka diundi bersama CSKA Moscow untuk aksi suku akhir Liga Europa mereka.

Ekoran ketegangan di antara kerajaan Britain dan Russia, penyokong The Gunners yang akan ke sana telah diberi amaran berkenaan adanya potensi bahaya kepada warga Britain.

Setakat ini, Arsenal akan memperuntukkan tiket sebanyak 3000-4000 keping untuk perlawanan timbal balik kedua di Moscow pada 12 April nanti. Namun, selepas apa yang berlaku, ada kerisauan bahawa ramai penyokong tidak akan ikut ke Moscow.

Kementerian Luar Negara Britain telah mengeluarkan amaran perjalanan kepada penyokong tetapi kelab berkenaan tidak akan menyelia sebarang perjalanan rasmi dan beberapa ejen pelancongan telah membuat keputusan untuk tidak menawarkan sebarang pakej untuk perlawanan tersebut.

UEFA juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa perlawanan tersebut akan tetap berlangsung dan tidak akan masuk campur terhadap isu di antara kedua negara berkenaan kerana ianya isu politik. UEFA juga akan berkerjasama dengan semua pasukan dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan keselamatan semua penyokong yang hadir ke stadium.