Luar Negara Eropah

Memahami evolusi corak permainan Cristiano Ronaldo di Real Madrid

Cristiano Ronaldo telah mencipta fenomena dalam dunia bola sepak selama lebih sedekad. Dia memenangi lima anugerah Ballon d’Or dan menjadi penjaring terbanyak dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah sepanjang zaman, termasuk lebih 600 gol dalam karier bersama kelab dan negara. Kini, dia berdepan satu cabaran baru, usia.

Selama beberapa tahun di Real Madrid, jumlah perlawanan tidak memberikan masalah buatnya, namun tatkala usia menginjak, wujud kesan terhadap penampilannya secara fizikal.

10/11: 34 aksi liga, 12 penampilan Liga Juara-Juara Eropah
11/12: 38 aksi liga, 10 penampilan Liga Juara-Juara Eropah
12/13: 34 aksi liga, 12 penampilan Liga Juara-Juara Eropah
13/14: 30 aksi liga, 11 penampilan Liga Juara-Juara Eropah
14/15: 35 aksi liga, 12 penampilan Liga Juara-Juara Eropah
15/16: 36 aksi liga, 12 penampilan Liga Juara-Juara Eropah
16/17: 29 aksi liga, 13 penampilan Liga Juara-Juara Eropah

Pada usia 33 tahun, Ronaldo perlu melihat kepada corak latihannya, keadaan fizikal, bagaimana dia bermain serta apa sahaja yang mampu menangguhkan jalan terakhir kariernya. Pada musim ini serta musim lepas, Zinedine Zidane telah meyakinkan Ronaldo bahawa dia perlu melakukan sesuatu yang tidak difikirkan, iaitu mendapatkan rehat yang cukup serta berehat daripada sesetengah aksi. Corak pemikirannya harus diubah, begitu juga dengan peranannya di atas padang susulan kecederaan lutut serius yang dialami ketika final EURO 2016. Ia memaksanya untuk mengubah segala perancangan awal dalam kariernya.

Sayap Kiri

Selama beberapa tahun di Santiago Bernabeu, Ronaldo mengesahkan tempatnya di sayap kiri tanpa sebarang persoalan. Kelajuan, permainan licik dan kepantasan telah menjadikannya ancaman tetap buat semua pasukan berbekalkan kaki kanannya. Sepakan “knuckle ball” dari jarak jauh menjadi senjata utama dan kehadiran Gareth Bale ke Sepanyol pada September 2013 telah mencetuskan kebangkitan “BBC”. Bale. (Karim) Benzema, Cristiano. Ketiga-tiganya ditampilkan melalui formasi 4-3-3, sekaligus memaksa lawan untuk mempertaruhkan kelajuan di bahagian tepi berbanding menumpukan perhatian kepada Benzema.

Ronaldo meledak dengan kelajuan dan fizikalnya tatkala waktu panjangnya diluangkan di gimnasium memberikan hasil kepada kekuatan dirinya untuk mengawal dan melancarkan gerakan serangan. Kehebatannya di depan gol nyata menggerunkan lawan, membolehkannya mencipta sesuatu yang tidak difikirkan oleh pemain lain. Jika keadaan bola menghala ke arah sebelah kanan, tentunya larian Cristiano akan berakhir dengan percubaan yang menjengah jaring gol lawan.

Penyerang tengah

Selepas kembali daripada masalah kecederaan yang menyebabkannya terlepas kempen pra-musim, Ronaldo perlu mengembalikan keyakinannya tetapi ada perkara yang perlu diubah berdasarkan persekitarannya.

Sama ada menggunakan dua atau tiga pemain di depan, Ronaldo harus lebih statik dalam membuat sebarang keputusan. Marcelo dan Dani Carvajal mungkin akan memegang tanggungjawab lebih besar untuk menjana serangan dari bahagian tepi sambil Benzema duduk lebih rapat dengan bintang Portugal itu.

Kehadiran Isco juga mengimbau aksi musim lalu, dimana dia telah mengurangkan beban peranan yang ditanggung Ronaldo. Dia tidak lagi perlu mencipta peluang sendiri, sebaliknya dia boleh menjadi lebih kepada peledak di depan gol, menggunakan tenaga yang kurang serta menggunakan peluang yang terhasil dari bahagian tepi. Kemenangan 4-2 Real Madrid ke atas Bayern Munich ketika Liga Juara-Juara musim 2016/17 adalah bukti perubahan ini. berbanding mencipta dan menyudahkan, Ronaldo lebih hebat untuk menghidu peluang yang tiba di depannya untuk mencipta hatrik buat Madrid.

4-2-4 milik Zidane

Pada Disember 2017, Zidane menggunakan pendekatan 4-2-4 sewaktu membenam Sevilla 5-0, menyaksikan Marco Asensio dan Lucas Vazquez ditempatkan di sisi bahagian tengah dan dua pemain tengah bertahan dipertaruhkan. Ia adalah aksi pertama menyaksikan persembahan cemerlang Ronaldo selepas mengharungi permulaan yang suran di LaLiga bagi saingan 2017/18.

Kemenangan 5-2 ke atas Real Sociedad pada Februari juga menampilkan keunggulan yang sama, sambil Los Blancos menunjukkan jalan keluar buat Paris Saint-Germain (PSG) daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah pada Mac, menyaksikan Ronaldo masih mengetuai kemenangan itu. Benzema dan Ronaldo diletakkan selaku penyerang di barisan depan sambil aspek kreativiti diberikan kepada jentera tengah.

Asensio dan Vazquez telah bergabung dalam menghasilkan gol pertama pada malam itu melalui kelebihan yang digunakan Ronaldo daripada bahagian belakang, dimana posisinya telah menjadikannya kepada permulaan serangan itu. Benzema mungkin perlu turun beberapa kali untuk menggerakkannya tetapi Ronaldo yang akan lebih pantas menempatkan dirinya dalam posisi yang tepat dan berada di sekeliling kotak penalti apabila kepantasan diperlukan.

Usia Ronaldo telah memaksanya tidak lagi mempertaruhkan sepenuh kudrat dalam kesemua perlawanan atau mengambil sebarang risiko. Daripada seorang lelaki yang sering menyerang daripada tepi dengan kelajuan hebat kepada seorang penyerang yang berwibawa, Los Blancos telah membuktikan mereka mampu untuk terus mempamerkan tenaga dan kreativiti dalam setiap gerakan serangan. Cristiano Ronaldo mungkin tidak sepantas dahulu tetapi pada usia 33 tahun, dia masih mempunyai masa untuk terus mengutip trofi kejuaraan dalam kariernya.

Oleh Simon Harrison
(www.tifofootball.com)