Luar Negara Eropah

Royston Drenthe, bekas bintang muda Real Madrid yang kini menjadi penyanyi rap

Antara ramai pemain bola sepak yang meraikan hari ulang tahun pada 8 April 2018, nama Royston Drenthe menarik untuk diceritakan. Bekas pemain yang berasal dari Belanda ini baru memasuki usia 31 tahun sewaktu membuat keputusan untuk menggantung but, sekaligus memadamkan jangkaan bahawa dia mampu menjadi pemain berkelas dunia.

Semasa berusia 19 tahun, karier Drenthe berkembang dengan pantas. Dalam usia yang begitu remaja, dia sudah mewakili kelab besar Belanda, Feyenoord. Kemahiran teknikalnya mungkin tidak terlalu hebat, namun kekuatan fizikal dan tenaga membolehkannya disifatkan bakal menjadi pemain tengah hebat seperti Michael Essian dan Gennaro Gattuso, membuatkannya pantas menjadi pilihan penyokong Feyenoord.

Reputasinya sebgai pemain muda yang berpotensi tinggi untuk berkembang hebat telah diketahui Real Madrid dan akhirnya pemain yang memiliki raut wajah seperti Curtis Jackson atau “50 Cents” ini tiba ke Santiago Bernabeu pada 2007. Yuran perpindahannya ketika itu dianggarkan sekitar EUR15 juta walaupun baru berusia 20 tahun pada waktu itu.

Kemunculan awalnya bersama Los Blancos tidak begitu mengecewakan penyokong-penyokong Madrid. Dia dilihat bersemangat untuk menjadi pesaing utama buat Marcelo di posisi bek kiri, namun situasi itu tidak bertahan lama.

Akhirnya, dia jelas tidak mampu memenuhi tuntutan yang disediakan penyokong-penyokong Madrid. Semua jangkaan musnah apabila Jose Mourinho mengambil alih jawatan pengurus di Bernabeu, membuatkan Drenthe terpaksa meninggalkan pasukan selepas hanya menyarung jersi Los Blancos sebanyak 46 kali dalam masa lima tahun dan menyumbat dua gol.

Apa yang menarik, aksinya sempat mencuri perhatian apabila mengancam gawang yang dikawal Victor Valdes ketika bertemu Barcelona dalam aksi El Classico di Camp Nou pada 2008. Selepas meninggalkan Madrid, dia tidak lagi dapat mencapai tahap terbaik dalam kariernya.

Pihak media yang menyenaraikan barisan pemain yang terburuk dan pernah mewakili Real Madrid telah meletakkan nama Drenthe dalam senarai tersebut. Dia sempat mewakili Hercules dan Everton menerusi status pinjaman pada 2012. Selepas dilepaskan Madrid pada 2012, kariernya mula terumbang-ambing dalam banyak pasukan. Selepas gagal di Russia bersama Alania Vladikavkaz, Drenthe cuba bangkit bersama Reading dan Sheffield Wednesday dalam saingan bawahan di England.

Bagaimanapun, pemain yang meraih satu penampilan skuad kebangsaan Belanda ini tampak sudah kehilangan rasa ghairah terhadap bola sepak. Selepas kontraknya ditamatkan oleh Baniyas (Emiriyah Arab Bersatu) pada 2016, Drenthe memutuskan untuk bersara pada usia 29 tahun. Kini, dia menyelami dunia rap dengan nama komersial, Roya2Faces.

Pemain Belanda itu akhirnya dikenali sebagai salah seorang budak ajaib yang paling gagal di dunia. Baru berusia 31 tahun dan kini berkongsi umur dengan Lionel Messi dan Cesc Fabregas, namun Drenthe atau Roya2Faces ternyata memilih dunia hiburan sebagai karier baru.