Kolum Luar Negara

Tribe Scout: Daripada hostel buruk ke pintu Liga Juara-Juara, ini kisah James Tarkowski

Dalam edisi terkini Tribe Scout, kami memaparkan kisah James Tarkowski daripada sebuah hostel buruk ke pintu terbesar di Eropah, iaitu Liga Juara-Juara

Ada sesuatu yang istimewa dengan Hotel Molitor di Paris. Daripada kolam renang, bar di tingkat atas, ke biliknya, semuanya menawan biarpun sedikit mahal. Lokasi tidak kurang 100m daripada Parc des Princes, membuatkan hotel ini menjadi pilihan pasukan pelawat yang bertandang ke ‘rumah’ Paris Saint-Germain.

Jika anda berjalan ke depan sedikit melalui Boulevard Périphérique, melewati satu stesen minyak, akan nampak sebuah hostel. Tiada yang istimewa tentang hostel ini. Katil yang usang, tingkap yang susah untuk ditutup hinggalah lumut di bilik mandi, ianya satu pilihan murah terutamanya buat penyokong pasukan lawan yang mahu ke Parc des Princes ketika perlawanan Liga Juara-Juara.

Beberapa bulan lalu, tidak terjangkau di fikiran pemain pertahanan Burnley, James Tarkowski bahawa dia akan menginap di Hotel Molitor. Dia sebenarnya seorang jejaka yang lebih gemarkan hostel seperti yang pernah dilakukannya ketika berkunjung ke ibu negara Perancis itu. “Kami tinggal di satu hostel yang buruk,” katanya kepada Mike Keegan dalam satu temuramah bersama Sporstmail awal tahun ini. “ Satu bilik hostel di Paris memang teruk, entah siapa-siapa tidur di sana. Ada juga yang berharga £2 untuk satu malam.”

Tapi sekarang, kemungkinan untuk menginap di Hotel Molitor dan beraksi menentang bintang-bintang seperti Neymar, Edinson Cavani dan Kylian Mbappe bukan satu perkara mustahil buat Tarkowski dan rakan sepasukannya di Burnley. Selasa lalu, The Clarets sempat berada sementara di kedudukan Liga Juara-Juara, satu kejayaan buat mereka yang merupakan antara pasukan dengan perbelanjaan paling rendah dalam liga. Pada musim panas lalu, mereka sebenarnya mendapat wang lebih banyak berbanding membelanjakannya, tetapi pemain seperti Tarkowski memastikan kelab akan terus kekal bersaing biarpun kehilangan pemain hebat seperti pemain yang digantikannya, Michael Keane.

Biarpun Burnley terkeluar daripada posisi empat terbaik seperti dijangka, tidak dapat dinafikan mereka tetap pesaing rapat untuk slot ke Eropah. Seperti kata-kata bekas pemain mereka Andre Gray minggu lalu: “Ada 16 perlawanan dalam musim ini, bukan empat atau lima di mana mereka beraksi baik.” Kedudukan Burnley sekarang menunjukkan mereka bukan sekadar pasukan yang menewaskan pasukan-pasukan lemah. Mereka menewaskan Chelsea di Stamford Bridge serta mencatat keputusan seri di Wembley dan Anfield. Mereka bukan lagi bahan jenaka, tetapi wajar diberi perhatian serius.

Tarkowski antara tunjang kejayaan itu. Kalau dilihat dari segi statistik, Burnley antara pasukan paling teruk dari segi penguasaan bola, ketepatan hantaran dan jaringan gol Tetapi itu bukan masalah buat mereka, kerana di sebalik kekurangan itu, anak buah Sean Dyche hanya bolos 12 gol, sama seperti pendahulu liga, Manchester City.

Kalau dilihat dari segi individu pula, Tarkowski pemain yang paling memberi kesan kepada pasukan. Dia membuat ‘clearance’ dengan purata 8.33 dalam setiap perlawanan, menghalang secara purata 1.73 percubaan dan merampas bola dengan purata 1.60 bagi setiap 90 minit. Jika dinilai semua pemain di Liga Perdana Inggeris, tidak ada seorang pun pemain yang membuat lebih banyak aksi bertahan berbandingnya. Itu termasuk pemain yang digantikannya, Michael Keane yang berhijrah ke Everton selepas melalui musim yang hebat bersama Burnley sebelumnya.

Tarkowski mungkin sekadar pelengkap pasukan pada musim lalu, tetapi kini dia semakin jauh meninggalkan bangku simpanan di Turf Moor. Dia beraksi untuk Brentford di League One pada tahun 2014, selepas memulakan kerjaya di Oldham Athletic dengan gaji £200 setiap minggu. Disebabkan penyakit adiknya, dia pulang ke utara England untuk bersama keluarga dan menyertai Burnley pada jendela perpindahan musim sejuk 2015/16. Pada musim itu, Burnley berjaya naik ke Liga Perdana Inggeris dan kini Tarkowski boleh dikatakan pemain pertahanan terbaik liga.

Tidak mustahil Tarkowski mampu menjadi pemain yang lebih baik di masa hadapan selepas apa yang dilaluinya dalam tempoh empat tahun ini. Mungkin dia akan beraksi di Piala Dunia? Membawa Burnley ke Liga Europa? Atau mungkin lebih hebat lagi, bersama Burnley menginap di Hotel Molitor, Paris menjelang perlawanan Liga Juara-Juara? Semuanya boleh berlaku.

Oleh Euan McTear
(www.tifofootball.com)