Piala Dunia 2018 Luar Negara

Kenali Rodrigo Moreno: Calon penyerang utama Sepanyol di Piala Dunia 2018

Selepas menjadi penjaring tempatan kedua terbanyak dalam saingan LaLiga dan menyumbat gol ketika menentang Jerman baru-baru ini, nama Rodrigo Moreno kini meniti di bibir setiap peminat La Furia Roja dan ramai sudah mula menjangkakan dia akan mengetuai barisan serangan Sepanyol di Piala Dunia 2018.

Rodrigo meraih jaringan pertamanya bersama pasukan kebangsaan ketika menentang skuad kendalian Joachim Low pada 22 Mac lalu. Selepas perlawanan berakhir seri 1-1, nama bekas pemain akademi Real Madrid ini pantas menarik perhatian media di seluruh Eropah.

Salah satu pasukan yang kini dilaporkan sedang mengintai khidmatnya adalah Everton, namun spekulasi itu tampak tidak kukuh kerana Rodrigo kini mengharungi kempen menakjubkan bersama Valencia. Rodrigo menjadi watak utama membawa Valencia menduduki tangga keempat LaLiga ketika ini.

Pemain berusia 27 tahun ini sudah mengumpul 13 gol hasil daripada 24 perlawanan liga, sekaligus mengharungi musim paling gemilang dalam karier seniornya. Sebelum ini, dia hanya mampu menyumbat sepuluh gol dalam tiga tahun terakhir dan situasi itu berubah apabila dia beraksi di bawah bimbingan Marcelino Garcia.

Berbekalkan kepantasan dalam larian, pemain yang memiliki pertalian darah dengan Thiago dan Rafinha Alcantara ini sebenarnya sempat melalui musim hebat bersama Benfica. Namun, sejak berhijrah ke Valencia pada 2014, dia gagal memberikan impak besar sehinggalah musim 2017/18.

Pada musim lalu, Rodrigo hanya mencatatkan lima jaringan dalam LaLiga tatkala Valencia terjerumus ke kelompok bawahan. Untuk musim ini, Simone Zaza menunjukkan taring lebih awal tetapi memasuki pusingan kedua liga, penyerang kelahiran Brazil ini mengambil giliran.

Jaringan pertamanya untuk Sepanyol ke gawang Jerman membuatkan ramai menyebut namanya untuk menggantikan Alvaro Morata di barisan depan kerana penyerang Chelsea itu tampak melalui kemerosotan prestasi di England. Kini, segala keputusan terletak pada tangan pengendali La Roja, Julen Lopetegui.

Harganya juga melonjak begitu tinggi selepas aksi menakjubkan pada musim ni. Dia sering menjaringkan gol-gol penting buat Valencia, termasuk ketika membantu pasukannya mengikat Barcelona 1-1.

Laporan daripada Calciomercato menunjukkan bahawa klausa perpindahan bernilai EUR120 juta terkandung dalam kontraknya ketika ini. Jadi, Valencia tampak berada di landasan tepat untuk mengekalkan khidmat pemain berjersi nombor 19 ini walaupun Everton dikhabarkan telah memperuntukkan EUR40 juta untuk mendapatkannya.

Bagaimanapun, Rodrigo mahu memberi tumpuan membawa Valencia kembali ke saingan Liga Juara-Juara dan membawa cabaran Sepanyol di Piala Dunia 2018 terlebih dahulu.