Luar Negara Piala Dunia 2018

Akhirnya, Falcao menanti detik ke Piala Dunia pertama bersama Colombia

Bernd Schuster. Eric Cantona. George Weah. Ryan Giggs. George Best. Alfredo Di Stefano. Kesemua nama yang dinyatakan telah melalui satu tempoh yang sangat hebat ketika bergelar pemain bola sepak, namun tiada seorang pun antara mereka yang berjaya meraih penampilan di pentas Piala Dunia. Radamel Falcao hampir menyertai kelompok tersebut tetapi kini dia sedang menanti waktu untuk melakukan penampilan pertama, pada usia 32 tahun.

Tentunya dia terfikir dimana kekurangannya sehingga setiap empat tahun, dia pasti terlepas peluang untuk beraksi di pentas paling berprestij itu. Kepercayaan dalam dunia bola sepak bahawa kerja keras dan bakat semulajadi tentunya tidak menjadi sesuatu yang berbaloi apabila ia melibatkan tentang sesebuah peluang untuk beraksi dalam satu kejohanan.

Falcao memulakan karier antarabangsanya pada usia 20 tahun, dimana selepas berakhirnya Piala Dunia 2006. Los Cafeteros ketika itu tidak melayakkan diri ke saingan di Jerman tetapi berbekalkan kualiti yang dimiliki pemain seperti El Tigre, mereka mungkin mampu mendapatkan satu mata untuk menempah tiket sekurang-kurangnya ke play-off, jika Falcao dapat menyertai pasukan ketika aksi kelayakan. Justeru, ia menjadi bukan satu detik yang terbaik buat Falcao.

Dalam usaha ke edisi 2010 di Afrika Selatan, Falcao menjadi antara watak utama Colombia. Bagaimanapun, satu mata sekali lagi memisahkan mereka untuk meraih tempat dalam aksi play-off. Situasi itu menjadi bukti bahawa 18 perlawanan peringkat kelayakan zon Amerika Selatan harus ditempuh dengan konsisten untuk memastikan slot ke Piala Dunia.

Pada penghujung kelayakan edisi 2014, satu senario berbeza telah berlaku. Falcao ketika itu telah berhijrah ke Eropah, menyertai Porto pada 2009 dan Atletico Madrid pada 2012, mengesahkan namanya selaku salah seorang penyerang paling prolific dalam dunia bola sepak. Dia bukan satu-satunya pemain berada dalam generasi baru untuk menyertai kelompok elit dalam saingan liga di Eropah.

“Pasukan kebangsaan ketika ini, berbekalkan pemain generasi baru, sedang mencipta satu sejarah. Kini, kesemua antara kami sedang beraksi di Eropah dan saya rasa kami memiliki sebuah pasukan yang mempunyai persamaan dengan skuad 1994,” kata penyerang Colombia, Jackson Martinez.

Perbandingan dengan pasukan pada edisi Amerika Syarikat 1994 sering diucapkan selepas Colombia menamatkan saingan kelayakan di tangga kedua zon Amerika Selatan dan antara faktor utama adalah sumbangan besar Falcao dengan sembilan gol dalam 13 perlawanan, termasuk aksi cemerlang Teofilo Gutierrez, James Rodriguez, Mario Yepes yang sering mengetuai benteng pertahanan serta pastinya pengendali, Jose Pekerman, yang bijak merencana taktikal dan mengadun kelompok pemain yang dimiliki.

Harapan amat tinggi diletakkan sehingga legenda, Carlos Valderrama, yakin bahawa pasukan yang akan ke Brazil dapat melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding ketika era pemain tengah itu beraksi. Malangnya, Falcao menerima kecederaan lutut.

Terjahan keras yang diterima ketika aksi Piala Perancis menentang Monts d’Or Azergues Foot pada Januari 2014 telah menyebabkan penyerang sensasi itu terpaksa melalui satu pembedahan dan berdepan kemungkinan besar gagal menyertai skuad kebangsaan ke Brazil. Dia akhirnya disenaraikan dalam 30 pemain, namun gagal mengisi senarai akhir tatkala Pekerman menyifatkan detik itu sebagai tempoh paling sedih sepanjang khidmatnya selaku pengurus Colombia.

“Saya tidak nafikan bahawa hati saya hancur dan ia sangat menyedihkan,” kata Pekerman.

Tanpa penyerang utama itu, Colombia tetap tampil cemerlang termasuk gol sensasi Rodriguez ketika peringkat suku akhir tetapi ia dikatakan hasil pemerhatian Falcao yang menyaksikannya dari rumah, sekaligus memberikan satu semangat luar biasa buat pasukan.

Kini, empat tahun sudah berlalu. Falcao bersedia untuk memenuhi impian zaman kanak-kanak untuk tampil di sebuah temasya paling hebat dalam bola sepak. Ia memberikan makna yang amat besar kerana jika bercakap soal kecederaan lutut yang dialami, Falcao sendiri mengakui bahawa dia mengambil masa lebih dari dua tahun untuk benar-benar pulih daripada segi mental dan fizikal.

Pengembaliannya ke Monaco telah memberikannya nafas baru selepas mengharungi kempen yang amat mengecewakan di England bersama Manchester United dan Chelsea. Dalam persediaannya untuk ke Russia 2018, dia menjaringkan 23 gol hasil daripada 29 penampilan pada musim ini. Walaupun berdepan masalah paha, itu tidak menjadi masalahnya untuk tampil hebat dalam saingan yang bakal bermula tiga bulan lagi.

“Saya sering menggambarkan diri saya menjaringkan gol di pentas Piala Dunia. Saya tidak boleh memberitahu berapa kali tetapi ia sangat kerap,” kata Falcao, membuktikan bahawa nalurinya sangat tebal untuk beraksi di pentas berprestij itu.

Jika dia berjaya mencatat jaringan di Russia, seluruh dunia pastinya akan tersenyum, kecuali buat Senegal, Jepun dan Poland kerana ketiga-tiga negara tersebut adalah lawan mereka di peringkat kumpulan. Sudah lama kita menantikan aksi salah seorang penyerang terbaik dunia ini di Piala Dunia dan apa yang pasti, ia pasti berbaloi.

Oleh Euan McTear
(www.tifofootball.com)