Malaysia Berita

Lebanon vs Malaysia: Lima pemain yang bakal mencuri perhatian

Selepas kegagalan menewaskan Mongolia di tempat sendiri, skuad kebangsaan berangkat ke Lubnan bagi berdepan perlawanan pelengkap jadual menentang Lubnan dalam saingan kelayakan Piala Asia. Menang, seri atau tewas, Malaysia tetap tidak akan ke Piala Asia.

Namun, bagi anak buah Tan Cheng Hoe, mereka perlu menunjukkan aksi bertenaga untuk meraih kembali kepercayaan peminat. Selepas 14 orang pemain JDT meninggalkan kem kebangsaan, kini giliran pemain-pemain lain untuk merebut tempat mereka. Ini lima pemain yang mungkin boleh menarik perhatian kita nanti.

Shahril Shaari (PKNS)

Shahril Shaari antara watak penting kepada PKNS musim ini. Kehebatannya menjaga gawang membantu PKNS menduduki tangga ketiga Liga Super. Antara sembilan pemain baru yang dipanggil, Shahril perlu merebut posisi penjaga gol bersama Hafizul Hakim (Perak) dan Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan).

Nor Hakim Hassan

Antara muka baru yang dipanggil oleh Tan Cheng Hoe bagi menggantikan pemain JDT yang dilepaskan. Nama Nor Hakim Hassan antara pemain yang diinginkan oleh penyokong untuk dipanggil ke skuad kebangsaan. Permintaan mereka akhirnya dikabulkan. Menunjukkan prestasi baik bersama Perak pada musim ini, kini Nor Hakim perlu menunjukkan aksi sama hebat untuk skuad kebangsaan.

Nazmi Faiz

Salah seorang daripada dua pemain JDT yang masih bersama skuad kebangsaan. Nazmi di awal kerjayanya sering diangkat sebagai permata skuad kebangsaan. Menunjukkan aksi hebat di Sukan SEA 2011, Nazmi juga sering dikatakan bakal pengganti Safiq Rahim. Dengan ketiadaan Safiq Rahim kali ini, ini masanya untuk Nazmi menunjukkan kebolehannya dan membantu menggerakkan jentera tengah skuad Harimau Malaya.

Akhyar Rashid

Selepas Nazmi, inilah permata baru skuad kebangsaan. Walaupun masih muda, pemain Kedah ini tidak gentar berdepan pemain yang lebih tua. Aksinya ketika menentang Mongolia merupakan antara perkara positif dalam perlawanan yang mengecewakan itu. Kini, Akhyar akan bermain di pentas lebih besar, menentang lawan yang lebih hebat. Mampukah Akhyar mengekalkan prestasi baiknya?

Zaquan Adha

Melihat kepada senarai penyerang di bahagian serangan, Zaquan adalah pemain paling berpengalaman dan boleh dianggap senior. Selepas sekian lama tenggelam dan timbul bersama JDT dan Perak, Zaquan akhirnya menunjukkan kebangkitan bersama Kuala Lumpur. Diletakkan dalam kesebelasan utama menentang Kedah dan Melaka United, Zaquan berjaya membantu Kuala Lumpur bangkit. Adakah Zaquan akan berjaya menambah kepada empat jaringannya untuk skuad kebangsaan ketika berdepan Lubnan nanti?