Berita Luar Negara

Pemain muda Crystal Palace bakal bantu Taiwan pecah masuk kelompok 100 pasukan terbaik dunia

Bintang muda Crystal Palace, Will Donkin kini menjadi sebutan di kalangan peminat bolasepak Taiwan. Biarpun belum berpeluang berada dalam kesebelasan utama, namun Will dikatakan menjadi punca kebangkitan Taiwan di arena bolasepak antarabangsa.

“Dia mungkin baru berusia 17 tahun, tetapi dia mempunyai bakat,” kata jurulatihnya, Gary White kepada Sky Sports.

Donkin yang membuat penampilan bersama skuad kebangsaan Taiwan pada November lalu dikhabarkan bakal membuat penampilan dalam kesebelasan utama dalam perlawanan menentang Singapura malam ini.

“Dia belum berada dalam kesebelasan utama, tetapi jika dia terus berlatih dengan baik, dia akan mendapat peluang dalam perlawanan menentang Singapura nanti,” tambah White.

Will Donkin yang merupakan bekas pemain akademi Chelsea kini beraksi bersama skuad bawah 18 tahun Crystal Palace. Popularitinya memuncak selepas mewakili Taiwan dan kini menjadi sasaran media di sana hinggakan ada syarikat donut tempatan mahu menajanya.

Mungkin Donkin belum mendapat peluang secukupnya berada dalam kesebelasan utama skuad senior Taiwan, tetapi dia mungkin akan menjadi tunjang untuk skuad bawah 23 tahun Taiwan di Sukan Asia Jakarta nanti.

Taiwan atau juga dikenali sebagai Chinese Taipei, pernah berada di kedudukan ke 185 dalam ranking FIFA pada tahun 2015, tetapi setahun selepas itu mereka melonjak naik ke kedudukan ke-157 dan kini berada di kedudukan ke-134.

Dengan bakat-bakat baru seperti Will Donkin, tidak mustahil untuk skuad kebangsaan Taiwan memecah masuk ke kelompok 100 pasukan terbaik dunia. Will Donkin telah banyak membantu untuk menarik penyokong Taiwan kembali menyokong skuad kebangsaan dan membantu projek pembangunan bolasepak Taiwan.

Selain itu, Donkin juga akan membuka laluan buat pemain-pemain muda daripada kelab England beraksi di luar negara. Siapa tahu, mungkin ada pemain-pemain muda ini mempunyai pertalian darah dengan negara tersebut dan boleh menjadi Will Donkin yang seterusnya.