Berita Asia

Kawin Thamsatchanan sudah mula mencuri tumpuan di Belgium bersama OH Leuven

Usah bosan jika Football Tribe Malaysia sering menceritakan tentang kisah pemain-pemain membanggakan daripada Thailand yang beraksi di luar negara kerana mereka bukan sekadar memanaskan bangku simpanan tetapi muncul sebagai pemain utama pasukan. Salah seorang daripada mereka adalah penjaga gol, Kawin Thamsatchanan.

Baru-baru ini, Kawin telah menjadi wira buat pasukan kebangsaan Thailand dalam aksi pembukaan Piala Raja-Raja di Stadium Rajamangala, Bangkok. Negara Gajah Putih itu telah menundukkan wakil dari Afrika, Gabon, 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti dan pemain berusia 28 tahun ini menjadi penyelamat apabila menafikan dua sepakan pemain lawan.

Aksi cemerlangnya itu membolehkan Thailand yang dibimbing Milovan Rajevac melangkah ke final menentang Slovakia dan selepas tamat perlawanan, Kawin menjelaskan kepada wartawan bahawa pengalamannya di Eropah telah membantunya mempamerkan aksi tangkas untuk menafikan dua tendangan penalti itu.

“Saya cuba yang terbaik untuk fokus kepada sepakan penalti,” kata pemain kelahiran Bangkok ini.

“Ini adalah kejayaan seluruh pasukan dan saya gembira dapat menyelamatkan sepakan itu. Walaupun baru beraksi dua bulan di Eropah tetapi saya dapat merasakan kesan besarnya kepada saya.

“Saya tidak lagi beraksi di Thailand, membuatkan saya harus bersaing untuk mendapatkan tempat bersama barisan penjaga gol lain yang lebih baik. Saya harus bijak menangani tekanan.”

Pada Januari lalu, Kawin meninggalkan pasukan gergasi Thailand, Muangthong Unitrd, untuk berhijrah ke Belgium dan menyarung jersi kelab liga kedua, Oud-Haverlee (OH) Leuven. Keputusannya itu menerima banyak sokongan di atas keberaniannya keluar daripada zon selesa dan dia mengikat kontrak selama lima tahun.

Pada mulanya, dia hanya muncul selaku pilihan ketiga di belakang dua pemain tempatan Belgium, Nick Gillekens dan Laurent Henkinet, namun kecederaan yang menimpa Gillekens memberikan laluan buatnya untuk bersedia menjadi pengganti buat Henkinet ketika menentang SK Lierse.

Pengurus dari England, Nigel Pearson, tampak tidak berpuas hati dengan prestasi Henkinet sehingga memaksanya meletakkan Kawin dalam kesebelasan utama ketika dua aksi berikutnya. Hasilnya agak memuaskan kerana Leuven mencatat keputusan seri 1-1 dalam dua perlawanan, menyaksikan Kawin dibolosi dua kali.

Sayangnya, kedua-dua perlawanan itu adalah aksi terakhir liga musim ini, namun kebarangkalian Kawin untuk beraksi dalam aksi kompetitif seterusnya tampak cerah. Leuven berjaya meraih kedudukan yang membolehkan mereka beraksi di pentas play off untuk merebut slot ke Liga Europa bagi musim 2018/2019.

Thailand hanya tewas tipis di tangan Slovakia di final Piala Raja-Raja tempoh hari, namun Kawin dan beberapa pemain Thailand lain, termasuk Chanathip Songkrasin terus mencuri tumpuan. Kini, Kawin akan kembali ke Belgium untuk fokus terhadap perlawanan-perlawanan play-off yang akan datang, sekaligus meningkatkan kualitinya secara keseluruhan.