Luar Negara Asia

Kelab Belgium buat tawaran untuk penjaga gol Thailand, Kawin Thamsatchanan

Kelab Belgium Oud-Heverlee Leuven telah mengesahkan bahawa mereka sedang berunding dengan Muangthong United untuk menandatangani Kawin Thamsatchanan.

Berita ini disahkan oleh Aiyawatt Srivaddhanaprabha, pengerusi kelab yang dimiliki oleh King Power itu. King Power turut memiliki Leicester City di Liga Perdana Inggeris.

“Kami telah memantau Kawin untuk beberapa bulan dan saya yakin dia mempunyai kebolehan untuk beraksi bersama pasukan kami. Buat masa sekarang, perundingan dengan Muangthong United masih berlangsung,” kata Aiyawatt kepada Goal Thailand.

“Kami ingin berterima kasih kepada Muangthong atas kesudian mereka menimbang tawaran kami. Butiran lain akan kami dedahkan dalam sidang media yang akan berlangsung pada hari Rabu ini,” tambah Aiyawatt.

Sejak membuat penampilan pertama untuk skuad kebangsaan Thailand pada tahun 2010, Kawin telah berkembang menjadi penjaga gol terbaik di Asia Tenggara.

Dia menjadi pilihan pertama Thailand apabila mereka mara ke final Piala AFF Suzuki pada tahun 2012, sebelum membantu negaranya memenangi piala tersebut pada tahun 2014.