Asia Malaysia

Jurulatih Iraq yakin anak buah mampu tewaskan Malaysia

Ketua jurulatih skuad B-23 tahun Iraq, Abdul Ghani Shahad berpendapat bahawa anak buahnya sudah bersedia untuk cabaran menentang Malaysia di Stadium Changshu, China, petang esok.

Menurut laporan Arena Metro, Iraq akan turun beraksi tanpa bintang mereka, Ayman Hussein, yang menerima kad merah dalam perlawanan terakhir mereka di peringkat kelayakan.

Walaupun Abdul Ghani berpendapat bahawa Malaysia akan memberi cabaran yang sengit malam esok, dia yakin bahawa barisan pemain muda Iraq mampu meraih tiga mata untuk memulakan kempen mereka dengan nada yang positif.

“Kami ada 23 pemain dan semua pemain sudah bersedia untuk beraksi. Kami sudah mempersiapkan semua pemain dalam perlawanan tahap tinggi jadi tiada masalah apabila kami tiada dua pemain ini,” kata ketua jurulatih itu.

“Kami berjaya memenangi kejohanan ini pada edisi pertama dan menduduki tempat ketiga selepas itu jadi kali ini kami mahu terus memperbaiki pencapaian meskipun kami tahu, peluang semua pasukan dalam kumpulan ini seimbang.

“Kami hanya memberi fokus dalam mempersiapkan pasukan kami sendiri. Kami menghormati Malaysia kerana mereka mencatat keputusan baik pada pusingan kelayakan dan melakukan persediaan rapi. Tapi saya berharap kami dapat meraih tiga mata esok,” tambah beliau.

Iraq merupakan antara pasukan yang paling bahaya di kejohanan ini, selepas menunjukkan prestasi yang cemerlang sepanjang 2017. Skuad Abdul Ghani bukan sahaja memenangi setiap perlawanan di peringkat kelayakan, malah mereka turut menjaringkan 12 gol dalam tiga perlawanan dan hanya sekadar bolos satu gol.