Malaysia

Misi Piala Asia B-23: OKS mahu pemain sesuaikan diri dengan cuaca sejuk

Datuk Ong Kim Swee telah menyeru para pemainnya untuk menyesuaikan diri mereka dengan cuaca sejuk di Korea Selatan sebelum mereka berlepas ke China untuk saingan Piala Asia B-23 tahun.

Skuad OKS sudah tiba di Korea Selatan untuk menjalani kem latihan buat dua minggu seterusnya dan bekas pemain kebangsaan itu mahu melihat anak buahnya menunjukkan prestasi yang konsisten walaupun terpaksa bermain dalam cuaca sejuk.

“Apa yang saya ingin lihat pada aksi persahabatan itu nanti pemain dapat mengikut arahan dan mampu bermain dalam cuaca sejuk dan saya lihat ia kriteria utama,” ujar OKS kepada Arena Metro. “Jika mereka tidak mampu menyesuaikan diri, mungkin itu akan menjadi salah satu faktor (digugurkan), namun semuanya terpulang pada tiga aksi persahabatan di sana nanti.

“Apapun, saya tahu pemain tetap memerlukan tiga ke empat hari untuk menyesuaikan diri dan selepas itu kita akan melihat tahap kemajuan setiap pemain memandangkan kita perlu fokus kepada pendekatan serta apa yang kita ingin lakukan.

“Saya ibaratkan latihan di Korea Selatan ini sebagai latihan fasa kedua dan ini peluang kita untuk melakukan penambahbaikan daripada segala aspek sebelum latihan fasa ketiga di China nanti. Saya hanya mahu berfikiran positif dan kalau terjadi apa-apa masalah ketika di Korea Selatan nanti, sudah tentu kita ada pelan alternatif yang boleh diambil,” tambah OKS.

Malaysia akan berdepan dengan tiga perlawanan persahabatan di Korea Selatan. Mereka akan turun menentang Mokpo City pada 20 Disember, sebelum bertemu dengan Jeonju University dua hari selepas itu. Jeonju Citizen akan memberi cabaran terakhir pada 28 Disember sebelum skuad OKS dijadualkan berlepas ke China untuk saingan Piala Asia B-23 tahun.