Luar Negara

Ini janji Jose Mourinho kepada semua penyokong Man United

“Kami akan cuba berjuang untuk kejuaraan liga sehingga perlawanan terakhir.”

Itu mesej yang disampaikan oleh Jose Mourinho kepada penyokong Manchester United selepas mereka meraih kemenangan tipis ke atas West Bromwich Albion malam semalam.

Perbezaan mata di antara Manchester City dan Manchester United kekal 11 mata selepas City berjaya menewaskan Tottenham Hotspur 4-1 pada hari Sabtu. Namun, Mourinho masih yakin bahawa United mempunyai peluang untuk mengejar City musim ini.

“Kami cuba memenangi setiap perlawanan. Jika anda tanya soalan itu kepada pasukan yang berada di bawah enam pasukan teratas, mungkin aspirasi mereka berbeza. Mungkin mereka mahu bercuti awal. Kami tidak mahu pergi bercuti awal.

“Bagi kami, setiap perlawanan adalah penting dan kami mahu memenangi kesemuanya. Jika tewas, kami tidak berpuas hati. Itu sikap yang telah diterapkan dalam skuad ini,” ujar Mourinho kepada Daily Telegraph.

Malam semalam, United membuka tirai melalui jaringan Romelu Lukaku pada minit ke-27, sebelum Jesse Lingard mendapatkan gol kedua United pada minit ke-36. Namun, West Brom bangkit kembali pada separuh masa kedua dan berjaya merapatkan jurang melalui gol Gareth Barry pada minit ke-77.

Pasukan tuan rumah nyaris mendapat gol penyamaan beberapa minit selepas itu, namun David De Gea berjaya membuat halangan yang cukup bagus untuk membantu skuad Red Devils meraih tiga mata berharga di Hawthorns.