Luar Negara

VIDEO: Hannover jaringkan gol dramatik untuk seri 4-4 dengan Bayer Leverkusen

Siapa kata Bundesliga tidak mampu memberi aksi-aksi menarik?

Beberapa minggu selepas Borussia Dortmund seri 4-4 dengan Schalke 04, peminat Bundesliga sekali lagi disajikan dengan perlawanan yang cukup dramatik di antara Hannover 96 dan Bayer Leverkusen.

Julian Brandt membuka tirai jaringan untuk Leverkusen pada minit ke-11 sebelum Hannover berjaya menyamakan kedudukan melalui Ihlas Bebou hanya satu minit kemudian.

Pasukan tuan rumah kemudian diberikan sepakan penalti dan Niclas Fullkurg berjaya menjaringkan penalti tersebut untuk meletakkan Hannover 2-1 di hadapan. Walau bagaimanapun, Leverkusen pula berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan Admir Mehmedia pada minit ke-25.

Sebelum tamat separuh masa pertama, Felix Klaus meletakkan Hannover 3-2 di hadapan Leverkusen dengan jaringan yang cukup ‘clinical’. Apa yang berlaku selepas itu? Leverkusen berjaya mendapatkan gol penyamaan hanya dua minit selepas babak kedua bermula, melalui pemain gantian Leon Bailey.

Bailey turut menjaringkan satu lagi gol pada minit ke-67 untuk memberikan kelebihan kepada pasukan pelawat, sebelum Julian Korb muncul wira Hannover apabila dia berjaya menembusi gol Leverkusen pada minit ke-83, sekaligus membantu pasukan tuan rumah meraih satu mata daripada perlawanan yang agak dramatik.

Saksikan highlight perlawanan ini di bawah!