Malaysia Liga Super Malaysia

MFL kurangkan denda 10 pasukan Liga Malaysia, hukuman dikekalkan

Denda dikurangkan.

Hukuman denda bagi pasukan yang lewat dan gagal melengkapkan senarai pendaftaran bagi pasukan Liga Malaysia telah dikurangkan oleh Malaysia Football League (MFL).

Perkara ini diumumkan oleh MFL yang dahulu dikenali sebagai FMLLP menerusi satu siaran media hari ini.

Menurut MFL, 10 pasukan telah membuat rayuan bagi pengurangan hukuman dalam masa 14 hari selepas pemberitahuan dibuat. Bagi pasukan Liga Super Malaysia, hukuman telah dikurangkan daripada RM1.5 juta kepada RM500,000, manakala bagi pasukan Liga Premier, denda dikurangkan daripada Rm500,000 kepada RM200,000.

“Hukuman tersebut diringankan pada kali ini untuk memberi peluang kepada pasukan untuk membuat perubahan lebih baik pada masa akan datang. Tetapi perlu ditegaskan, hukuman yang lebih berat melebihi RM 1 juta akan dilaksanakan jika masih berlaku perkara yang sama di masa hadapan,” kata CEO MFL, Kevin Ramalingam dalam siaran media tersebut.

Namun, kesemua pasukan yang gagal melengkapkan dokumen akan tetap dikenakan sekatan perpindahan dan hukuman tertangguh pemotongan mata.

Kesemua 10 pasukan yang dikenakan denda dan hukuman adalah Kelantan FA, PKNS FC, Selangor FA dan Kuala Lumpur FA bagi Liga Super sementara pasukan dari Liga Premier pula adalah Kuantan FA, Pulau Pinang FA, Sarawak FA, MISC MIFA, UKM FC dan PDRM FC.