Luar Negara Eropah

Siapa Marcus McGuane, pemain Inggeris pertama mewakili Barcelona selepas Lineker?

Bukan semua pemain bola sepak Inggeris mahu mengembangkan karier di Sepanyol. Fakta bahawa Gareth Bale kini memegang status pemain British yang meraih penampilan terbanyak LaLiga dengan 118 perlawanan adalah bukti paling jelas tidak ramai wakil Inggeris mahu berhijrah dan kekal di sana. Malah, sangat sukar menyaksikan pemain British mewakili pasukan gergasi Sepanyol seperti Real Madrid dan Barcelona, menjadikan Marcus McGuane sebuah kisah yang hebat.

Dua minggu lepas, dia melakukan penampilan pertama buat pasukan utama Barca, apabila masuk beraksi ketika perlawanan berbaki 14 minit sewaktu aksi Piala Super Catalan menentang Espanyol. Walaupun ia bukan pentas yang besar, dimana Ernesto Valverde hanya meletakkan lapan pemain senior dalam skuad, ia tetapi satu pencapaian baik buat McGuane. Sejak Gary Lineker menyarung jersi Barca pada 1989, tiada seorang pemain dari England yang berhijrah ke Camp Nou, walaupun Toni Duggan berpindah ke Catalonia untuk menyertai skuad wanita Barca pada musim panas lalu.

“Ia adalah satu pengalaman hebat dan pencapaian besar buat saya dan keluarga. Tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan berjalan keluar di luar sana tetapi saya gembira dan bangga dengannya,” kata pemain tengah bertahan itu..

McGuane seharusnya berbangga. Pemain berusia 19 tahun itu tiba di Catalonia pada penghujung jendela perpindahan pada Januari, namun telah beraksi sebanyake empat daripada lima aksi terakhir Barca B di liga, sekaligus menari perhatian Valverde untuk memilihnya menjadi sebahagian daripada 12 orang pemain yang beraksi di pentas Piala Super Catalonia.

Sebaik sahaja menamatkan perlawanan itu yang berkesudahan Barca menang menerusi penentuan sepakan penalti, dia pantas menyertai sesi latihan skuad utama dan dialu-alukan oleh barisan bintang Barca seperti Philippe Coutinho selepas menyedari akan gaya pertuturan warga Inggeris yang ditunjukkan. Usaha keras di lapangan latihan membuatkan Gerard Lopez dan barisan kejurulatihannya kagum dengan McGuane, begitu juga pengarah akademi, Jose Mari Bakero. Dia juga dilaporkan menunjukkan perkembangan pantas dalam pembelajaran bahasa Sepanyol teman wanitanya arif dengan bahasa Sepanyol.

Situasi ini tampak tidak memeranjatkan kem Arsenal yang terlepas mengikuti perkembangannya walaupun pernah beraksi buat pasukan belia Gunners. Sebagai seorang pemain tengah bertahan yang pantas dan kuat, dia mampu melakukan hantaran dengan kedua-dua kaki dan menduduki posisi bek tengah. Arsene Wenger adalah peminatnya, malah dia diturunkan ketika aksi Liga Europa menentang BATE Borisov dan Red Star Belgrade pada awal musim ini. Namun, akibat kecewa kekurangan peluang beraksi di pentas utama, peluang untuk menyertai Barca tidak dilepaskan walaupun beraksi di liga kedua bersama Barca B.

“Saya menjadi kecewa kerana kurang waktu bermain serta peluang. Bagus untuk menjalani latihan tetapi saya tidak mahu berada pada tahap sama sepanjang masa. Langkah ini mampu membantu. Saya rasa jika saya terus bekerja keras, saya akan meraih peluang tetapi ia tidak muncul. Saya tidak berdendam tetapi apa yang terbaik adalah saya mencari jalan lain. Jika anda mahu memperkembangkan karier dan mendapatkan peluang bersama pasukan utama, anda harus melihat pasukan selain Arsenal.”

Itu yang diperkatakan oleh pemain Inggeris itu, tatkala 20 kelab teringin untuk mendapatkan khidmatnya. Sewaktu dia mempertimbangkan Sassuolo selepas dijanjikan tempat dalam skuad utama, baginya amat sukar untuk menolak peluang bersama Barcelona, pasukan yang sejak dulu diminatinya dan selepas 12 tahun di Emirates, dia akhirnya ke Camp Nou sewaktu kontraknya bersama Gunners berbaki enam bulan. “Ia adalah mimpi menjadi nyata.”

Tiba dengan kontrak tiga tahun setengah dan disertakan klausa pembelian berjumlah EUR25 juta, Barca tampak yakin dengan kemampuan McGuane. Dia berkeyakinan dan menunjukkan bahawa aksi menentang Espnyol itu bukanlah sasarannya, sebaliknya dia menyasarkan tempat dalam pusingan awal Piala Raja Sepanyol musim depan.

Kejayaan memecah masuk skuad utama Barca adalah sesuatu yang bukan mudah tetapi McGuane adalah satu nama yang tampak sesuai di Camp Nou dan berkebolehan membarisi kesebelasan utama Barcelona di masa akan datang.

Oleh Euan McTear 
(www.tifofootball.com)