Bruno Lopes yang dilepaskan Kelantan baru-baru ini menyatakan kesediannya untuk kembali bersama Persija Jakarta suatu hari nanti.
Lopes menerusi laman Instagramnya menyatakan penghargaannya kepada penyokong Persija Jakarta yang sering memohon penyerang Brazil tersebut kembali bersama mereka.
Namun, pemain tersebut enggan mengulas mengenai pemergiannya daripada skuad The Red Warriors. Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias ada menyatakan bahawa antara sebab Bruno dilepaskan adalah kerana kecederaannya yang mengambil masa dua bulan untuk sembuh.
Dalam tulisannya di laman Instagram peribadinya, Bruno menyatakan bahawa dia sedia untuk beraksi kembali bersama Persija Jakarta, tetapi bukan pada musim ini disebabkan kuota pemain import kelab Jakarta berkenaan sudah penuh dan dia menghormati pemain-pemain import yang sedia ada bersama Macan Kemayoran.
“Mengenai semua permintaan untuk kembali ke Persija, saya gembira dan mungkin suatu hari nanti saya akan kembali menyarung jersi Persija jika kelab mahukan, tetapi buat masa ini kuota pemain asing kelab sudah penuh dan semua pemain Brazil yang ada di sana adalah kawan saya dan saya hormati mereka, jadi tidak adil untuk saya bercakap mengenai kepulangan ke sana sekarang. Pertama, kerana pasukan sedang beraksi bagus dan kedua kerana jendela perpindahan sudah ditutup!”
Bruno Lopes menjaringkan 10 gol dalam 29 penampilan untuk Persija Jakarta pada musim lalu. Sementara bagi Kelantan pula, dia sekadar menjaringkan satu gol.