Luar Negara Eropah

UEFA Ronaldo League: Cristiano lakar rekod jaringan baru di pentas Eropah

Aksi suku akhir pertama antara Juventus dan Real Madrid berakhir secara mengejut. Juve yang bermain di laman sendiri telah dimalukan oleh Los Blancos dengan keputusan 3-0. Secara keseluruhan, persembahan anak-anak buah Massimiliano Allegri jelas gagal menyaingi kehebatan Sergio Ramos dan rakan sepasukannya. Aksi itu dibezakan dengan satu faktor yang membuatkan Madrid tampil sempurna, iaitu Cristiano Ronaldo.

Bintang dari Portugal itu memberikan aksi yang sangat memukau untuk membantu Madrid menundukkan Juve. Semua gol yang diraih Los Blancos adalah hasil daripada kerja kerasnya, apabila menyumbat dua jaringan dan satu bantuan gol.

Ketika aksi baru berusia tiga minit, Ronaldo telah mencatatkan gol yang tidak terjangka. Bermula daripada gerakan Isco di bahagian kiri, perancang Sepanyol itu melepaskan satu hantaran lintang leret yang disambut Ronaldo dengan bahagian luar kakinya, membuatkan Gianluigi Buffon terpaku.

Bagaimanapun, jaringan kedua pemenang lima kali Ballon d’Or ini lebih istimewa. Pada minit ke-63, umpanan dari sebelah kanan oleh Dani Carvajal telah disempurnakan Ronaldo menerusi satu sepakan akrobatik yang sangat hebat! Jelas sekali, hanya pemain dengan fizikal sepertinya sahaja yang mampu menyambut bola setinggi itu untuk melepaskan tendangan tersebut.

Jaringan Ronaldo itu telah membuatkan semua penonton di stadium berdiri memberikan tanda hormat, tidak kira penyokong Madrid atau tuan rumah. Situasi itu lantas mengingatkan semua kepada Alessandro Del Piero, legenda Juventus ketika pertemuan di Santiago Bernabeu, 10 tahun lalu.

Ronaldo melengkapkan malam gemilangnya dengan satu bantuan gol buat sahabat karib, Marcelo, untuk menyumbat gol ketiga.

Hasil daripada dua jaringan itu, Ronaldo kini kembali memecahkan rekod di pentas Liga Juara-Juara. Bermula pada aksi final musim lalu, dia tidak henti mencatatkan nama di senarai penjaring dalam semua perlawanan musim ini.

Bercakap tentang Juventus, pintu gol skuad The Old Lady jelas sering jadi pilihan Ronaldo. Bekas pemain Manchester United ini telah menyumbat sembilan jaringan dalam kejohanan ketika berdepan Juventus. Tiada pemain yang meraih pencapaian sebegitu terhadap sesebuah kelab seperti apa yang dilakukan Ronaldo terhadap Juve.

Jaringannya di perlawanan itu juga telah memecahkan rekod peribadinya, dimana gol pertama itu menjadi jaringan terpantas Ronaldo yang pernah dihasilkan di Liga Juara-Juara.

Kini, Ronaldo telah menyumbat 119 gol di Liga Juara-Juara. Penampilannya di Stadium Allianz seolah-olah telah membuatkan Liga Juara-Juara Eropah dinamakan Liga Juara-Juara Ronaldo.