Luar Negara Malaysia

Filipina tewaskan Tajikistan, cipta sejarah layak ke Piala Asia 2019

Sejarah tercipta.

Suatu ketika dahulu antara pasukan belasahan di Asia Tenggara. Hari ini, sejarah tercipta buat Filipina apabila berjaya mara secara merit ke pusingan akhir Piala Asia 2019.

Filipina berjaya bangkit dari ketinggalan menerusi jaringan Kevin Ingreso pada minit ke 74 dan gol kemenangan daripada Phil Younghusband pada minit ke-90 untuk memadam jaringan Akhtam Nazarov pada minit ke-63.

Apa yang menakjubkan, kemenangan tersebut turut menyaksikan The Azkals muncul juara kumpulan F selepas memungut 12 mata mengatasi Yemen dan Tajikistan yang mengumpul 7 mata. Kemenangan ini sangat penting buat Filipina kerana jika tewas, Tajikistan dan Yemen berpeluang mengatasi mereka.

Sukan bolasepak di Filipina tidak terlalu terkenal berbanding sukan-sukan seperti Bola keranjang , tinju bahkan bola tampar. Tetapi sejak tahun 2010, Filipina mula menunjukkan kebangkitan dan kelab-kelab dari Filipina juga turut menjadi pesaing hebat di Piala AFC. Biarpun belum pernah menjuarai apa-apa kejuaraan di peringkat Asean, tetapi Filipina yang berada di ranking 122 kini pasukan nombor 1 Asia Tenggara mengikut ranking FIFA mengatasi Thailand di tangga ke 129.